• Gabungan Portfolio Pendidikan & Sukan Serasi

    Published: Wednesday, 14 June 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Menggabungkan portfolio pendidikan dan sukan di bawah satu kementerian merupakan aspirasi peribadi yang disuarakan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pada sesi Dialog TN50.

    Khairy berkata beliau pernah menyuarakan cadangan berkenaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan mendapat reaksi positif.

    “Saya pernah beritahu kepada Perdana Menteri aspirasi individu saya bahawa Kementerian Belia dan Sukan merupakan cara lama. (Kementerian) Belia dan Sukan macam tak berapa kena.

    “Kemudian, beliau bertanya kepada saya, apa yang perlu dilakukan? Saya beritahu beliau, mesti Kementerian Pendidikan dan Sukan,” katanya pada sesi Dialog TN50 bersama warga sukan, di sini hari ini.

    Khairy berkata di negara seperti Jepun, Argentina, Kemboja dan Slovakia, aspek pendidikan dan sukan diletakkan di bawah satu kementerian.

    “Kita kena akui bahawa di negara kita, sistem sukan juga bermula daripada sekolah,” katanya.

    Pada sesi Dialog TN50 bersama warga sukan itu , Khairy menerima 63 aspirasi antaranya peranan sekolah dalam perkembangan sukan, ekosistem yang mesra golongan kurang upaya, perkembangan industri sukan yang dapat membantu pembiayaan sukan secara keseluruhan serta pembiayaan atlet selepas persaraan.

    Sementara itu, pada sidang media kemudiannya, Khairy berkata cadangan menggabungkan portfolio pendidikan dan sukan pernah disuarakan sebelum ini kerana dilihat lebih serasi.

    “Saya lihat keserasian portfolio itu sangat baik,” katanya.

    Sesi Dialog TN50 itu dihadiri 1,000 atlet, bekas atlet, jurulatih dan penggiat industri sukan tanah air. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Gabungan Portfolio Pendidikan & Sukan Serasi "