• Filipina Tarik Balik Penangguhan Hantar Pekerja Ke Qatar

    Published: Thursday, 15 June 2017
    A- A+


    MANILA – Kerajaan Filipina pada Khamis menarik balik penangguhan sementara penghantaran pekerja negara itu ke Qatar, lapor agensi berita China Xinhua.

    Setiausaha Buruh Silvestre H. Bello III berkata, keputusan dicapai selepas mengadakan rundingan dengan Jabatan Hal Ehwal Luar dan atas nasihat Pejabat Tenaga Kerja Luar Negara Filipina (POLO).

    “Keputusan itu dipersetujui atas nasihat Setiausaha Luar Negeri Allan Peter Cayetano dan atas syor POLO Qatar selepas penilaian terhadap keadaan di negara teluk berkenaan,” katanya.

    Bello dimaklumkan keadaan di Qatar kembali seperti biasa selepas beberapa negara Arab memutuskan hubungan diplomatik dengan negara itu kerana didakwa menyokong pengganas.

    Selain itu, pihak berkuasa Qatar turut menjamin keselamatan kira-kira 240,000 rakyat Filipina di negara berkenaan dan mengesahkan mempunyai keupayaan berdepan kemungkinan sebarang kesan ekonomi akibat daripada hubungan diplomatik dengan negara Arab lain.

    Pada minggu lepas, Bello mengarahkan penghantaran pekerja ke Qatar digantung sementara bagi menjamin kebajikan, keselamatan dan sebagai persediaan berdepan sebarang kemungkinan. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Filipina Tarik Balik Penangguhan Hantar Pekerja Ke Qatar "