• FGV: 'Kita tunggu dulu' - Isa Samad

    Published: Monday, 19 June 2017
    A- A+

    SEREMBAN: "Kita tunggu dulu." Itu reaksi Tan Sri Isa Samad mengenai khabar angin beliau akan digugurkan sebagai Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) minggu ini.

    "Saya tidak tahu (mengenai khabar ingin itu), saya tak mahu komen apa-apa lagi sekarang," katanya kepada BH, semalam.

    Beliau berkata, semua pihak sewajarnya menunggu sehingga isu yang membelenggu FGV kebelakangan ini, selesai disiasat pihak berkaitan, malah beliau sendiri mengelak untuk memberi sebarang kenyataan pada masa ini.

    Isa ditanya mengenai spekulasi perkhidmatan beliau sebagai Pengerusi FGV akan ditamatkan dalam minggu ini, sebagai jalan penyelesaian untuk kepada pelbagai isu yang membelenggu syarikat perladangan itu.

    Kemelut FGV mencapai kemuncak apabila Lembaga Pengarahnya mengarahkan Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad; Ketua Pegawai Kewangan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha; Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim, untuk bercuti, pada 6 Jun lalu.

    Susulan krisis itu, Pejabat Perdana Menteri melantik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala sebagai orang tengah bagi mencari penyelesaian kepada krisis berkenaan.

    Pelbagai pihak kemudian mendesak Isa meletak jawatan atau bercuti bagi membolehkan siasatan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Isa bagaimanapun mempertikaikan desakan itu dan menegaskan beliau tidak bersalah dalam krisis syarikat berkenaan dan tidak perlu untuknya meletakkan jawatan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " FGV: 'Kita tunggu dulu' - Isa Samad "