• Fatimah Sambut Baik Penubuhan Mahkamah Khas Kanak-Kanak

    Published: Wednesday, 21 June 2017
    A- A+

    Menteri Kebajikan Masyarakat, Kesejahteraan Masyarakat, Wanita, Keluarga dan Kanak-kanak, Datuk Fatimah Abdullah memuji usaha kerajaan persekutuan menubuhkan mahkamah khas bagi mengendalikan kes jenayah seksual kanak-kanak yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

    Memetik laporan The Borneo Post, Fatimah berkata usaha kerajaan menyediakan tempat yang kondusif dan mesra adalah wajar dimana kanak-kanak yang terlibat dengan penderaan boleh menjadi saksi tanpa perlu didedahkan kepada orang awam.

    "Penubuhan mahkamah khas adalah mesra kanak-kanak. Keseluruhan pembentukan akan mengambil kira keadaan mental mangsa kanak-kanak, terutama keadaan emosi mereka," katanya.

    Fatimah menambah, penubuhan mahkamah khas kanak-kanak adalah tindakan yang strategik dalam memerangi penderaan seksual kanak-kanak yang semakin berleluasa.

    "Salah satu strategi yang paling penting untuk memerangi penderaan seksual kanak-kanak adalah menanamkan keyakinan di kalangan orang tua dan anggota masyarakat untuk melaporkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak," ujarnya.

    Mengulas lanjut, Fatimah berkata, dengan adanya mahkamah khas ini akan ada pendakwaan yang berkesan di mana penjenayah akan dihukum segera justeru menggalakkan lebih ramai pengadu untuk berani tampil ke hadapan.

    Sementara itu, statistik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan bahawa 5,779 kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak dicatatkan dari tahun 2010 hingga 2015 dengan purata 963 kes setahun, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan 2,759 kes rogol, 412 kes sumbang mahram, 1,423 kes mencabul kehoramtan dan 422 kes seks luar tabii antara 2015 dan 2016 yang membabitkan mangsa yang berumur 18 tahun ke bawah.

    Penubuhan mahkamah khas adalah untuk menangani kes-kes jenayah seksual kanak-kanak, bukti usaha kerajaan untuk menangani masalah itu dan memberi perlindungan holistik kepada kanak-kanak. - Sarawakiana
  • No Comment to " Fatimah Sambut Baik Penubuhan Mahkamah Khas Kanak-Kanak "