• F1: Hamilton Raih Petak Pertama Ke-66

    Published: Sunday, 25 June 2017
    A- A+

    BAKU, Azerbaijan: Lewis Hamilton merangkul petak pertama buat kali ke-66 sepanjang karier dalam Formula Satu (F1) selepas tampil dengan aksi dominan pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Azerbaijan, sebentar tadi.

    Pelumba pasukan Mercedes AMG PETRONAS itu melakukan catatan terbaik, 1 minit 40.593 saat (s) pada minit-minit terakhir sesi kelayakan mengatasi rakan sepasukannya, Valtteri Bottas.

    Sesi kelayakan yang terhenti selama tiga minit selepas bendera merah dikibarkan susulan kemalangan yang berlaku kepada pelumba Red Bull, Daniel Ricciardo, memberikan pelumba memperbaiki catatan masa dengan Hamilton menggunakan sepenuhnya peluang berkenaan.

    Bottas melakukan catatan 1 minit 41.027s untuk mengisi petak kedua. Barisan kedua di Baku menjadi milik dua pelumba Ferarri, Kimi Raikkonen dan Sebastian Vettel.

    Kedua-duanya menamatkan sesi kelayakan dengan catatan satu minit lebih perlahan berbanding Hamilton.

    Pelumba muda Red Bull, Max Verstappen, menghuni barisan ketiga diikuti pelumba Force India, Sergio Perez.

    Rakan sepasukan Perez, Esteban Ocon, meraih petak ketujuh diikuti Lance Stroll di petak kelapan untuk pasukan Williams, sekali gus mengatasi rakan sepasukan yang lebih berpengalaman, Felipe Massa.

    Ricciardo pula terpaksa berpuas hati untuk memulakan perlumbaan di petak ke-10, yang juga pelumba terakhir di kelayakan tiga, diikuti Daniil Kvyat dan Carlos Sainz Jr daripada pasukan Toro Rosso.

    Begitupun, paling malang pastinya dua pelumba McLaren, Fernando Alonso dan Stoffel Vandoorne, apabila terpaksa memulakan perlumbaan di petak paling belakang selepas dikenakan hukuman penalti. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " F1: Hamilton Raih Petak Pertama Ke-66 "