• Everton Ikat Penjaga Gol Termahal Di Britain

    Published: Friday, 16 June 2017
    A- A+

    LONDON: Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Everton mengikat Jordan Pickford daripada Sunderland dengan rekod baharu sebagai penjaga gol paling mahal di Britain.

    Penghijrahan pemain pasukan Bawah 21 tahun (B-21) England itu membabitkan nilai 30 juta pound sterling (RM163.29 juta) sekali gus mengatasi nilai 10 juta pound (RM 54.43 juta) Fraser Forster yang dibayar oleh Southampton kepada Celtic pada 2014.

    Pembelian itu juga meletakkan Pickford sebagai penjaga gol ketiga termahal di dunia, di belakang pemain baharu Manchester City, Ederson dan legenda Itali, Gianluigi Buffon.

    Pickford menandatangani kontrak lima tahun dan akan menjadi pilihan utama Ronald Koeman untuk mengisi posisi penjaga gol selepas Maarten Stekelenburg dan Joel Robles gagal kekal konsisten dalam saingan musim lalu.

    "Musim lalu adalah penampilan EPL sulung saya, jadi ini peluang yang saya perlu ambil untuk terus maju dan tunjukkan kepada semua yang saya mampu tampil hebat bersama Everton. "Ia kelab yang hebat. Saya fikir ia peluang dan masa yang sesuai untuk menyertai kelab ini.

    Saya mahu jadi yang terbaik untuk bantu pasukan," katanya menerusi laman web kelab itu. Selain Pickford, Everton terus berbelanja ketika melengkapkan tempoh 24 jam apabila turut mendapatkan pemain tengah Ajax, Davy Klaassen dengan nilai 23.5 juta pound (RM127.9 juta).

    Pemain antarabangsa Belanda itu pernah beraksi di final Liga Europa bersama Ajax sebelum tewas kepada Manchester United selain membuat 163 penampilan bersama kelab berkenaan dan meledak 49 gol.

    "Agak sukar untuk meninggalkan Ajax tetapi saya merasakan ia satu langkah yang cukup bagus untuk saya," kata Klaassen. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Everton Ikat Penjaga Gol Termahal Di Britain "