• Esszone: Perintah Berkurung Dilanjut Hingga 9 Julai

    Published: Friday, 23 June 2017
    A- A+


    KOTA KINABALU – Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang berakhir hari ini dilanjutkan hingga 9 Julai depan.

    Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata perintah berkurung itu meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

    Dengan pelanjutan yang bermula esok itu, semua penduduk di kawasan terlibat diminta supaya berada di dalam rumah dan tidak dibenarkan memasuki kawasan berkenaan antara 6 petang hingga 6 pagi, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    “Perintah berkurung diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan serta pelancong yang melawat pulau-pulau peranginan,” katanya.

    Menurutnya, berdasarkan siasatan, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik bagi mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina, masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

    Ramli berkata, perintah berkurung itu diteruskan bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan serta yang berada di kawasan daratan Esszone.

    Perintah berkurung itu juga memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran kapal pasukan keselamatan di sekitar kawasan mereka, katanya.

    “Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah terlibat untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon yang memenuhi syarat bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak melalui kawasan perintah berkurung,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Esszone: Perintah Berkurung Dilanjut Hingga 9 Julai "