• DoJ Berhak Kemuka Tindakan Sivil

    Published: Tuesday, 20 June 2017
    A- A+

    BANGI: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) berhak mengemukakan tindakan sivil membabitkan pelbagai aset yang didakwa mempunyai hubung kait dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata Malaysia memberi ruang kepada negara lain menjalankan siasatan mengikut sistem perundangan mereka.

    Pada masa sama, katanya, Malaysia tidak akan sesekali tunduk kepada arahan negara lain dan akan menjalankan siasatan mengikut undang-undang sendiri.

    "Kita ada cara kita, Malaysia mempunyai sistem Parlimen dan mahkamah selain peguam negara.

    "Saya terkilan kerana bila Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan kenyataan, rakyat Malaysia terus kelam-kabut dan percaya.

    "Biar mereka buat kerja mereka, kita ikut undang-undang negara kita dan hormat sistem perundangan Malaysia," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Bantuan Guaman Malaysia 2017 anjuran Jabatan Bantuan Guaman di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) di sini, hari ini.

    Jumaat lalu, 1MDB mengesahkan tidak menerima sebarang saman sivil daripada DoJ.

    1MDB berkata, pihaknya juga tidak dihubungi oleh DoJ atau mana-mana pihak mewakili jabatan berkenaan berhubung isu sama. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " DoJ Berhak Kemuka Tindakan Sivil "