• DAP Mahu Pilih Anwar Atau Mahathir?

    Published: Wednesday, 14 June 2017
    A- A+
    11 Jun 2017, Malaysiakini menulis "Anwar dipersetujui jadi Ketua Umum Harapan". Ini merupakan cerita dalaman tentang apa isi kandungan perbincangan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang berlangsung pada Jumaat, 9 Jun 2017.

    Nampaknya, perbincangan itu masih lagi buntu dan gagal memuktamadkan siapa sebenarnya calon PM bagi pihak Pakatan Harapan. Seminggu sebelum itu mereka mesyuarat perkara yang sama di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 1 Jun 2017.

    9 Jun 2017, Zaid Ibrahim, yang kini bersama dalam DAP menyatakan PPBM patut ketuai Pakatan Harapan. Cadangan ini ditolak oleh PKR. Keputusan rasmi tidak diumumkan, bermakna sudah berkali kali mesyuarat pun, mereka masih lagi gagal berpakat sesama mereka.

    DAP nampaknya cenderung untuk memilih Anwar. Kit Siang sudah angkat plakad sokong Anwar Ibrahim jadi PM yang ke-7. Namun dalam masa yang sama Mahathir masih lagi mahu memujuk dan menagih simpati DAP untuk menyokongnya menjadi PM sekali lagi.

    Kali pertama Mahathir cakap mahu jadi Perdana Menteri ialah pada 1 Jun lepas, dalam satu temubual di Facebook dan kali kedua dalam satu wawancara di Nikkei Asian Review, Jepun pada 6 Jun lalu.

    Sampai pergi ke Jepun pun, mengulang lagi niat hendak jadi PM. Anwar masih lagi di dalam penjara. Cerita RM9.5 juta ini sengaja diadakan semata mata untuk beri harapan untuk membebaskan Anwar.

    PKR pun buat bermacam cara bagi menunjukkan Anwar masih relevan dan kuat.
    Maka timbullah cerita untuk melantik Anwar pula sebagai Ketua Umum Pakatan Harapan. Jawatan yang dulu diwujudkan dalam PKR itu, mahu dibuat sama dalam Pakatan Harapan.

    Dalam satu kenyataan semalam, pemimpin 51 tahun DAP, Lim Kit Siang menyatakan bahawa Anwar yang ketika ini masih dipenjarakan, tetap menjadi pilihan untuk dilantik ke jawatan Perdana Menteri jika PH menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

    Bagaimanapun, kerana dia masih menjalani hukuman kerana jenayah meliwat, orang lain perlu dipilih untuk mejadi Perdana Menteri sementara menunggu Anwar dibebaskan dan dari bunyi kenyataan Kit Siang, orang itu tetap bukannya Mahathir.

    Mungkin DAP sudah nampak keupayaan sebenar Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz. Parti yang baru setahun jagung tubuh pun tidak ke mana mana. Ramai yang lari, keluar parti, gaduh sama sendiri dan mulai pertikai kekayaan Mahathir dan skandal Muhyiddin.

    PPBM tuduh kononnya exco Armada itu diupah oleh pihak UMNO untuk buat kenyataan media. Tuduhan yang sama pernah dilempar pada Cikgu Kamarul, Setiausaha Kerja PPBM yang juga keluar PPBM.

    Tuduhan itu hanya tinggal tuduhan. Tiada bukti dan hanya mahu mengelak menjawab soalan sebenar yang ditanya exco Armada itu. Boleh jadi PKR yang upah exco Armada ini untuk menunjukkan PPBM lemah dan tidak kuat. Boleh jadi juga.

    Musuh utama PKR kini bukannya UMNO, tetapi Mahathir. Musuh dan penghalang utama Mahathir hendak jadi PM semula bukannya UMNO, tetapi PKR. Jika sanggup reka cerita RM9.5 juta untuk bebaskan Anwar, PKR juga sanggup reka cerita RM5 juta dibayar Mahathir kepada Musa Hassan pada kes liwat 1999, juga kerana untuk bebaskan Anwar.

    Sekarang ini, PPBM dan PKR berlumba lumba hendak memujuk hati DAP.

    Apa pun berlaku, DAP lah yang buat keputusan. DAP adalah "king maker" dalam Pakatan Harapan. Soal lukisan logo pun, DAP yang tentukan menerusi Teresa Kok. Apatah lagi soal siapa hendak jadi PM.

    Kenapa DAP yang tentukan? DAP yang paling banyak kerusi dan berkuasa. DAP juga ada agenda lain selepas itu. Sesiapa pun naik, DAP akan pergunakan, kerana mungkin selepas itu orang yang jadi PM adalah DAP.

    Jangan cuba cuba menukar kerajaan di Putrajaya. Silap sekali, bukan boleh ditukar lagi. Menangis air mata darah pun tiada guna lagi jika DAP sudah kuasai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan. Kuasa di tangan DAP, Anwar atau Mahathir?


    Tulisan :
    Beruang Biru
    BB467, Rabu
    14 Jun 2017

    Subjects:

  • No Comment to " DAP Mahu Pilih Anwar Atau Mahathir? "