• Daesh Ugut Bunuh Pegawai Kanan Polis

    Published: Saturday, 24 June 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Kumpulan militan Daesh telah mengeluarkan ancaman terbaharu terhadap Malaysia dan pasukan keselamatan di negara ini.

    Sasaran utama mereka adalah Ketua Penolong Pengarah Anti Pengganas, Cawangan Khas (E8), Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Ayob Khan sendiri.

    Difahamkan kumpulan militan itu telah meminta rakan sel mereka di Malaysia untuk melancarkan serangan terhadap Ayob yang dilihat sebagai ancaman utama aktiviti penganas di rantau ini.

    Mesej yang tular di media sosial berbunyi: “Di Malaysia negara yang udah di bawah Khilafah, ada satu nama polis AYOB KHAN. Dia kerja dengan pemerintah thogut… Dia juga orang yang tangkap askar khilafah di Malaysia.

    “Semua ikhwan khilafah yang ada di Malaysia bangun sekarang dan habiskan AYOB KHAN orang yang mau lawan dengan KHALIFAH ABU BAKAR AL BAGHDADI.”

    Sumber perisikan mendedahkan ancaman daripada kumpulan militan di Indonesia itu amat berbahaya.

    “Ia amat serius kerana militan Daesh di Indonesia begitu komited dan mempunyai rangkaian luas di rantau ini dan juga secara global.

    “Hubungan mereka dengan militan di Malaysia amat rapat dan militan Indonesia mempunyai kepakaran dalam menghasilkan peranti elektronik,” kata sumber kepada The Star pada Jumaat.

    Ketika dihubungi Ayob berkata dia menyedari ancaman tersebut dan berkata: “Siasatan awal menunjukkan ancaman itu diedarkan menerusi media sosial sejak minggu lalu.

    “Saya juga menerima banyak ancaman bunuh sejak beberapa tahun lalu tetapi ini kali pertama militan Indonesia mengeluarkan desakan kepada rakan militan di Indonesia, Malaysia dan negara lain untuk bunuh saya,” katanya.

    Beliau berkata masa ancaman kebetulan pada bulan Ramadan di saat militan percaya mereka akan menerima lebih banyak keberkatan jika menyerangnya pada waktu itu.

    “Ia kepercayaan mereka sendiri. Peluang kerjasama antara militan Indonesia dan Malaysia untuk membunuh saya amat tinggi mengambil kira hubungan rapat mereka.

    “Di Syria, militan Malaysia dan Indonesia membentu skuad yang dipanggil Khatibah Nusantara serta beroperasi di Raqqa.

    “Tambahan lagi, ada peningkatan militan Syria kembali ke Asia Tenggara memandangkan serangan terhadap kubu Daesh di Mosul, Iraq dan Raqqa, Syria,” katanya.

    Ayob berkata ancaman daripada militan Indonesia itu lebih serius selepas beberapa anggota kumpulan itu ditahan di Slim River, Perak dan Sandakan, Sabah baru-baru ini.

    “Suspek ditahan di Slim River pada 13 Jun merupakan pentabdir kumpulan aplikasi Telegram yang ada hampir 200 ahli militan dari Indonesia, Malaysia, Filipina, Arab Saudi, Syria, Oman dan negara Eropah.

    Katanya, suspek melabelkan perdana menteri sebagai pemimpin yang tidak mengamalkan undang-undang Islam manakala polis dan tentera sebagai ‘anjing’ kerajaan sekular.

    Suspek sama turut menggesa serangan dilancarkan terhadap kasino di Genting Highlands, Pahang dan Batu Caves, Selangor.

    Di sebalik ancaman itu, Ayob berkata, pihak polis komited untuk memastikan keselamatan rakyat dan negara terus terjamin.

    Sejak Februari 2013, bahagian itu telah menahan kira-kira 310 militan termasuk 21 daripada merupakan warga Indonesia.

    Pada masa sama, bahagian itu turut berjaya menggagalkan 18 rancangan keganasan kecuali pengeboman di Movida tahun lalu. – mStar Online

    Subjects:

  • No Comment to " Daesh Ugut Bunuh Pegawai Kanan Polis "