• Daesh Indonesia Membimbangkan?

    Published: Wednesday, 14 June 2017
    A- A+

    JAKARTA: Militan Daesh kini berada di hampir semua wilayah di seluruh Indonesia, meningkatkan kebimbangan bahawa pengaruh kumpulan pengganas itu semakin berkembang di rantau Asia Tenggara.

    Ketua Tentera Indonesia, Jeneral Gatot Nurmantyo berkata, pengaruh kumpulan pengganas itu sudah menyusup masuk secara perlahan-lahan di segenap wilayah di Indonesia kecuali wilayah Papua yang dihuni majoriti penduduk beragama Kristian.

    “Selepas pemerhatian yang dilakukan, kita lihat bahawa dalam hampir setiap wilayah sudah ada kumpulan-kumpulan kecil Daesh yang bergerak secara rahsia atau bersembunyi secara tidak aktif (sleeper cells).

    “Namun mereka mudah menyertai kumpulan-kumpulan kecil radikal yang lain,” kata Gatot kepada pemberita di Jakarta semalam.

    Kerajaan di seluruh rantau ini telah mengambil langkah berjaga-jaga selepas anggota militan Maute yang kebanyakannya dari negara-negara Asia Tenggara mengepung bandar Marawi di selatan Filipina sejak tiga minggu lalu.

    Tentera Filipina yang telah menjalankan serangan udara dan darat di bandar Marawi, mengesahkan kumpulan militan itu masih mengawal kira-kira 20 peratus kawasan bandar tersebut.

    Pasukan tentera Indonesia dan Malaysia turut meningkatkan kawalan keselamatan bagi mengelakkan anggota militan melarikan diri ke kawasan sempadan.

    Gatot berkata: “Tidak sukar untuk melarikan diri dari Marawi ke Indonesia dan kita semua perlu berhati-hati dengan pengaruh militan yang mungkin akan diaktifkan di Indonesia.”

    Semalam Singapura turut menahan seorang pembantu pusat asuhan kanak-kanak yang disyaki cuba menyertai kumpulan militan Daesh yang juga wanita pertama yang akan didakwa berhubung kes tersebut di negara itu.

    – REUTERS

    Subjects:

  • No Comment to " Daesh Indonesia Membimbangkan? "