• Colombia Belasah Juara Afrika

    Published: Wednesday, 14 June 2017
    A- A+

    GETAFE: Pertahanan tengah, Yerry Mina meledak dua gol untuk membantu Colombia menang 4-0 ke atas juara Afrika Cameroon, dalam aksi persahabatan awal pagi tadi.

    James Rodriquez dan Jose Izquierdo turut menjaringkan satu gol pada perlawanan yang menyaksikan Cameroon beraksi 10 orang selepas Robert Ndip Tambwe dilayangkan kad merah.

    Keputusan itu menjadi amaran buat Cameroon untuk segera meningkatkan kualiti permainan menjelang pertemuan dengan juara Copa Amerika, Chile, pada aksi pembukaan Piala Konfederasi di Moscow, awal pagi Isnin ini.

    Terdahulu, kad merah dilayangkan kepada Tambwe tiga minit selepas babak kedua bermula, menjadikan keadaan semakin sukar untuk bangkit daripada ketinggalan dua gol hasil jaringan Rodriguez dan Mina.

    Mina meledak gol keduanya pada minit ke-51 dan Izquierdo melengkapkan kemenangan enam minit sebelum tamat permainan.

    Cameroon hanya sekali memaksa penjaga gol Colombia, David Ospina melakukan aksi menyelamat pada perlawanan itu ketika menepis percubaan Olivier Boumal.

    Aksi Colombia selepas ini adalah menentang Venezuela dan Brazil pada Ogos dan September ini dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2018.

    Ketika ini Colombia berada di tangga kedua zon Amerika Selatan. - REUTERS

    Subjects:

  • No Comment to " Colombia Belasah Juara Afrika "