• Cadangan Pemerkasaan Usahawan Kecil Dan Sederhana

    Published: Tuesday, 13 June 2017
    A- A+

    Transformasi Nasional 2050 atau TN50 merupakan aspirasi jangka panjang negara dan saya ingin Malaysia berada di tahap 20 negara terbaik dunia menjelang 2050. Sehubungan itu, penting untuk kita menetapkan pencapaian atau sasaran jangka pendek dan sederhana untuk mencapai objektif tersebut selain mempunyai asas yang selari dengan rancangan pembangunan negara. Saya juga mengharapkan sasaran keluaran dalam negara kasar (KDNK) mencecah RM2 trilion menjelang tahun 2025.

    Dalam mencapai sasaran tersebut, saya percaya bahawa perusahaan kecil dan sederhana atau PKS memainkan peranan besar sebagai ejen-ejen ekonomi dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara. Ini terbukti apabila sumbangan PKS kepada KDNK negara pada tahun 2015 meningkat kepada 36.3% berbanding 35.9% pada tahun sebelumnya atau bersamaan dengan RM385.6 bilion.

    Alhamdulillah pagi tadi, saya berpeluang untuk bersama wakil-wakil PKS dan usahawan tekno daripada pelbagai indusri membincangkan inisiatif-inisiatif yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan dalam memperkasakan PKS. Banyak perkara yang telah diperincikan dan banyak juga maklum balas yang telah diberikan kepada saya. Saya ambil maklum akan permintaan pihak-pihak yang memohon agar peruntukan geran bagi PKS ditambah. Antara yang menyokong cadangan ini adalah Dato’ Faridah A. Jabbar mewakili Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia, Dato’ Hazimah Zainuddin mewakili Hyrax Oil Sdn Bhd, Pn Jenny Tan mewakili Sydney Cake House Sdn Bhd dan Datuk Haji Jamaludin Mat Saad mewakili Dewan Usahawan Industri Desa Malaysia.

    Dalam menggalakkan PKS menjadi lebih global, Dato’ Hazimah juga telah mencadangkan agar insentif diberi kepada PKS yang ingin eksport produk-produk mereka. Dato’ Hafsah Hashim daripada SME Corp juga telah mencadangkan insentif diberikan kepada PKS yang mempunyai 100% tenaga kerja tempatan.

    En Noor Mohd Helmi daripada IX Telecom Sdn Bhd, Pn Hee Hwee Leng daripada Avialite Sdn Bhd dan En Yeoh Chen Chow wakil daripada Fave Asia Sdn Bhd telah menyuarakan harapan mereka agar Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) lebih aktif melabur dalam PKS dan start-up di Malaysia di samping menyokong barangan buatan Malaysia. En Yeoh juga berharap agar pelajar-pelajar di sekolah diberi pendedahan kepada coding bagi membina aplikasi mobil.

    Selain itu, ada juga yang telah berkongsi dengan saya cabaran yang dihadapi PKS dalam menyesuaikan perniagaan mereka menghadapi zaman digital ini. Contohnya En Aminuddin Mohd Nasir daripada Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd dan Pn Michelle Hah daripada Fire Fighter Industry Sdn Bhd yang bermula sebagai perniagaan keluarga tidak lama dahulu. Walaupun sukar, saya percaya PKS perlu berubah mengikut peredaran masa jika mahu kekal berdaya saing.

    Secara keseluruhan, perbincangan yang tadi walaupun singkat sangatlah membina. Ramai mengucapkan terima kasih kepada kerajaan ke atas ekosistem ekonomi yang mesra PKS melalui SME Corp. Saya gembira mendapat maklum balas daripada Dato’ Ir. Muhammad Guntor wakil syarikat Gading Kencana Sdn Bhd yang mana syarikat beliau telah mendapat manfaat daripada hubungan baik antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi. Menurut beliau, hubungan baik tersebut telah membuka pintu buat syarikat beliau yang kini sedang membida projek di Arab Saudi. Alhamdulillah.

    Akhir kata, saya menghargai kehadiran dan pendapat semua, dan saya dimaklumkan ada yang datang dari Kedah semata-mata untuk menghadiri perbincangan ini. Percayalah, suara dan cadangan anda akan diteliti oleh kerajaan dalam memastikan pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan holistik ke arah TN50. Sesungguhnya, kerajaan akan terus komited dalam membangun dan memperkasakan PKS.

    1) NajibRazak.com
    https://www.najibrazak.com/bm/blog/cadangan-pemerkasaan-usahawan-kecil-dan-sederhana/


    2) NR Facebook
    https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10154517064265952&id=157851205951


    3) NR Twitter
    https://twitter.com/NajibRazak/status/874583325838516226

    Subjects:

  • No Comment to " Cadangan Pemerkasaan Usahawan Kecil Dan Sederhana "