• 'Bukan Beras Plastik'

    Published: Tuesday, 13 June 2017
    A- A+

    JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor menolak dakwaan di laman sosial baru-baru kononnya beras plastik dijual di sebuah pasar raya, di sini.

    Pengarahnya, Khairul Anwar Bachok, berkata susulan kenyataan seorang pengguna yang mendakwa membeli Beras Wangi Siam lima kilogram (kg) jenama pasar raya disyaki beras plastik, siasatan dibuat pada Rabu minggu lalu.

    "KPDNKK Johor sudah mengambil keterangan pengurus cawangan dan penjaga stor, selain memperoleh maklumat serta dokumen berkaitan punca beras itu dibungkus termasuk sampel beras jenama sama diambil untuk dianalisis.

    "Hasil laporan daripada Jabatan Kimia, KPDNKK Johor Khamis lalu mendapati isi kandungan sampel beras yang dihantar adalah beras asli dan tiada bendasing (plastik) dikesan.

    "Ini dengan sendirinya menolak isu beras yang menjadi viral di media sosial dan pengguna tidak perlu resah terhadap beras yang disyaki diperbuat daripada plastik," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

    Yang turut hadir, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Johor, Aris Mamat.

    Khairul Anwar berkata, pengguna dinasihatkan merujuk terus kepada KPDNKK bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kesahihan maklumat sesuatu barangan.

    Katanya, KPDNKK turut menyediakan pelbagai platform bagi pengguna membuat aduan seperti hotline 1-800-886-800 atau eaduan.kpdnkk.gov.my. atau terus hadir ke Pejabat KPDNKK Johor.

    Isu beras plastik tersebar luas di laman sosial minggu lalu selepas seorang lelaki membuat laporan polis apabila mendapati beras yang dibelinya sukar dikunyah.

    Lelaki terbabit mendakwa membakar beras berkenaan dan mendapati ia mengeluarkan bau seperti plastik, selain mendakwa membeli beras lima kg itu di sebuah pasar raya di Kulai di sini, pada harga RM21.85. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 'Bukan Beras Plastik' "