• Beras Cap Rambutan Beras Tulen, Bukan Plastik

    Published: Monday, 19 June 2017
    A- A+

    KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini mengesahkan tiada bendasing plastik ditemui dalam beras jenama cap Rambutan Super Special Tempatan 5%, berdasarkan keputusan awal ujian yang dijalankan.

    Ujian dilakukan susulan daripada beberapa video yang tular di media sosial berkaitan dakwaan kononnya terdapat kandungan beras plastik dalam kampit jenama cap Rambutan itu.

    Kementerian itu berkata, Cawangan Kawal Selia Padi dan Beras telah menjalankan pemeriksaan di kilang pemprosesan dan pembungkusan beras jenama itu di Mergong, Alor Setar, Kedah.

    “Pemeriksaan dijalankan termasuk mengenal pasti punca utama beras dan meneliti keseluruhan proses pembungkusan beras berkenaan.

    “Hasil pemeriksaan dan siasatan mendapati, syarikat itu memperoleh bekalan daripada sumber sah iaitu daripada petani dan pengilang tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Selain itu, beberapa siri ujian juga dijalankan seperti ujian ketahanan beras, ujian iodin bagi menguji kandungan kanji serta ujian bakar dan masak.

    “Seterusnya, sampel beras juga diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis lanjut.

    “Pada masa sama, siasatan dan pemeriksaan yang sama akan dijalankan di kilang pengeluar negeri Perak pada 19 Jun (esok),” katanya.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan perkara tersebut boleh menghubungi Pejabat Kawal Selia Padi di setiap negeri bagi memastikan siasatan dapat dijalankan serta mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.

    Dalam pada itu, Pemangku Pengarah Pejabat Kawal Selia Padi Kedah, Mohd Hidzir Selamat berkata, siasatan awal ke atas pemborong beras cap Rambutan, syarikat OEL Distribution (Kedah) Sdn Bhd dekat Alor Setar mendapati syarikat itu menggunakan beras tulen.

    Katanya, melalui pemeriksaan yang dilakukan pagi tadi mendapati beras di kilang tersebut diambil dari sumber yang sah.

    “Kami telah mengambil sampel beras dan menjalankan beberapa ujian tekstur dan ujian iodin dan hasilnya kami dapati ia mempunyai kanji dan merupakan beras tulen.

    “Malah kami turut melakukan pemeriksaan ke atas mesin pengampit beras di premis berkenaan dan ia bukan digunakan untuk membuat beras plastik,” katanya yang dipetik laporan Bernama.

    Bagaimanapun katanya, pihaknya tetap akan menghantar sampel beras berkenaan ke Jabatan Kimia bagi mengetahui kandungan dan komposisi sebenar, sekali gus mengetahui keputusan yang lebih tepat.

    Terdahulu, pihaknya melakukan pemeriksaan di sekitar premis tersebut dan melakukan beberapa ujian bagi memastikan ketulenan beras, termasuk memasak sendiri beras berkenaan.

    Pemeriksaan itu dilakukan susulan video tular seorang lelaki mendakwa beras cap Rambutan sebagai beras plastik, melalui tindakannya mengepal nasi dan membaling ke arah benda yang keras dan mendapati ia tidak pecah. –MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Beras Cap Rambutan Beras Tulen, Bukan Plastik "