• Bekas Wartawan Hiburan Tersohor, Bahyah Mahmood Meninggal Dunia

    Published: Tuesday, 20 June 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR - Keluarga besar wartawan dan penulis hiburan Malaysia hari ini kehilangan seorang tokoh yang cukup kami sayangi, Allahyarham Bahyah Mahmood,75, yang telah disahkan meninggal dunia pada pukul 5.20 pagi tadi di Institut Kanser Negara, Putrajaya akibat kanser.

    Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin, meletakkan Allahyarham Bahyah Mahmood, bukan hanya sebagai seorang wartawan hiburan penuh wibawa, tetapi dalam banyak keadaan menjadi 'rakan baik' kepada sesiapa sahaja disekeliling beliau.

    "Kak Bam (panggilan arwah) menjadi tempat berkongsi segala masalah, suka dan duka bukan sahaja dalam kehidupan anak seni tempatan, tetapi juga kami wartawan-wartawan muda yang menyambung perjuangan beliau dalam bidang penulisan seni dan hiburan.

    "Beliau sudah seperti kakak atau ibu kepada kami kerana sering memberikan nasihat-nasihat, galakkan dan kata-kata semangat kepada wartawan yang lebih junior seperti kami.

    "Tidak pernah ada seorang pun yang tidak menyukai atau ada masalah peribadi dengan beliau sepanjang kami mengenalinya," jelas Tengku Khalidah dalam satu kenyataan hari ini.

    Justeru tidak hairan kenapa nama-nama besar, seniman dan seniwati lagenda negara meletakkan beliau sebagai maestro kewartawanan hiburan yang begitu berpengaruh.

    Selain itu, Bam adalah antara satu-satunya wartawan hiburan yang diberi peluang menziarah Allahyarham Sudirman, ketika legenda itu berada dalam keadaan nazak sebelum meninggal dunia pada Februari 1992.

    Persatuan WHAM melahirkan ucapan takziah kepada anak-anak dan ahli keluarga Allahyarham Bahyah Mahmood dan semoga tabah menerima kehilangan besar ini.

    "Semoga meninggalnya beliau di dalam bulan yang penuh barakah ini akan menerima seribu satu ganjaran istimewa sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T.," kata kenyataan itu. - KOSMO

    Subjects:

  • No Comment to " Bekas Wartawan Hiburan Tersohor, Bahyah Mahmood Meninggal Dunia "