• Bekas Gengster Azam Puasa Penuh

    Published: Tuesday, 13 June 2017
    A- A+

    BUKIT SENTOSA: Tempoh 18 tahun menjalani hukuman sebagai pesalah juvana menyebabkan seorang lelaki hilang nikmat kehidupan seperti remaja lain.

    Malah, kehidupan Muhammad Firdaus Abdullah, 49, semakin tersasar dan dipenuhi kegiatan jenayah meskipun selepas dibebaskan pada usia 34 tahun.

    Dia yang lebih mesra dipanggil Firdaus mengakui sikap panas baran mendorongnya kembali terjebak dalam dunia gengster.

    Firdaus berkata, hukuman dijatuhi ke atasnya pada usia 16 tahun dan selepas 15 tahun berlalu keadaannya semakin tidak terurus selain tidak lagi semewah diharapkan hingga kadang-kala terpaksa menahan lapar.

    "Sehinggalah suatu hari ada kawan nasihatkan saya memeluk Islam supaya mudah dapat bantuan daripada pelbagai agensi. Masa tu ikut saja cakap kawan.

    "Sebenarnya saya peluk Islam pada 2015 di Klang tetapi sekadar ucap syahadah. Saya tak tahu langsung mengenai Islam apatah lagi solat atau perkara wajib lain termasuk puasa di bulan Ramadan," katanya.

    Menurutnya, kehidupan berlandaskan Islam hanya benar-benar mahu dipelajari dan diikuti selepas diuji ALLAH tahun lalu.

    “Mungkin ALLAH nak uji sebab tak lama kemudian saya sakit tulang belakang sampai terlantar di hospital Disember lepas.

    "Saya yang tak boleh nak berjalan diserahkan kepada Pusat Jagaan Warga Emas Serendah di Bukit Sentosa yang turut menempatkan penghuni mualaf,” katanya.

    Firdaus berkata, ilmu agama dipelajari dan mula didekati termasuk mendirikan solat dengan menghafaz bacaan dalam solat.

    “Walaupun saya peluk Islam pada 2015 tapi mula belajar berpuasa yang sebenar pada tahun lepas di rumah ini. Berpuasa dengan tidak makan dan minum bukanlah masalah bagi saya kerana dulu hidup terumbang-ambing sampai tak makan.

    “Umur sudah 48 tahun, jadi saya boleh berfikir untuk tahan lapar tetapi permasalahan besar dalam diri saya adalah sikap panas baran,” katanya.

    Menurutnya, tahun lepas dia menyifatkan beberapa hari puasanya ‘terbatal’ kerana gagal mengawal kemarahan sehingga mengeluarkan kata kesat kepada penghuni lain.

    "Tahun ini saya berazam untuk puasa penuh dan saya sangat bersyukur bila puasa beri satu ketenangan dan mengawal sikap panas baran,” katanya.-Sinar Harian

    Subjects:

  • No Comment to " Bekas Gengster Azam Puasa Penuh "