• Bekas Bos FBI Siasat Trump

    Published: Friday, 16 June 2017
    A- A+

    WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kini disiasat peguam khas yang dilantik Jabatan Keadilan, Robert Mueller berhubung sama ada beliau menghalang proses keadilan, lapor akhbar Washington Post kelmarin.

    Mueller yang merupakan bekas pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menyiasat campur tangan Rusia dalam pilihan raya Presiden AS pada tahun lalu dan kemungkinan Moscow berpakat dengan kempen Trump.

    Seorang lagi bekas pengarah FBI, James Comey memberitahu Kongres pada minggu lalu bahawa beliau dipecat oleh Trump bagi melemahkan siasatan berhubung dakwaan tersebut.

    Akhbar Washington Post memetik lima orang sebagai berkata, Dan Coats (pengarah perisikan nasional), Mike Rogers (ketua Agensi Keselamatan Nasional (NSA)) dan Richard Ledgett (bekas penolong pengarah NSA) telah bersetuju untuk disoal oleh penyiasat Mueller seawal minggu ini.

    Proses siasatan ke atas Trump bermula beberapa hari selepas Comey dipecat pada 9 Mei lalu.

    Bagaimanapun, pasukan undang-undang Trump kelmarin mengecam laporan tersebut.

    “Kebocoran maklumat oleh FBI mengenai Trump adalah keterlaluan dan melanggar undang-undang,” kata jurucakap pasukan peguamnya, Mark Corallo.

    Dalam pada itu, beberapa pakar undang-undang berkata, isu Trump meminta Comey menggugurkan siasatan ke atas seorang bekas penasihatnya boleh mengukuhkan dakwaan bahawa beliau menghalang proses keadilan. – Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Bekas Bos FBI Siasat Trump "