• Bekalan Elektrik Di Gaza Hanya 2 Jam Sehari

    Published: Thursday, 22 June 2017
    A- A+



    GAZA – Pihak Israel memutuskan untuk mengurangkan bekalan elektrik ke Semenanjung Gaza kepada satu pertiga, bermakna setiap isi rumah mendapat kurang dua jam bekalan elektrik setiap hari, lapor Al-Resalah.

    Menurut Al-Resalah, kebiasaannya Qatar dan Turki membiayai untuk mendapatkan bahan bakar bagi kegunaan satu-satunya loji jana kuasa elektrik di Gaza yang membekalkan tenaga elektrik untuk beberapa jam setiap hari.

    Ekoran krisis diplomatik antara beberapa negara teluk dengan Qatar, tidak dapat dipastikan sama ada Qatar akan meneruskan pembiayaannya atau sebaliknya.

    Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan Bahrain memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar pada 5 Jun lepas dan mengenakan sekatan di darat, laut dan udara.

    Qatar merupakan penaja utama bagi aktiviti awam di Semenanjung Gaza.

    Jika pembiayaan dihentikan akibat sekatan terhadap Qatar, keadaan kemanusiaan di Gaza bakal bertambah buruk yang boleh menyebabkan kemungkinan berlakunya peningkatan aktiviti ketenteraan.

    Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Anti-Pengepungan merangkap ahli Parlimen Jamal al-Khudari, memberi amaran keputusan Israel mengurangkan bekalan elektrik ke wilayah yang dikepung di Semenanjung Gaza boleh mengundang keadaan lebih teruk.

    Menurut Al-Khudari, sejak beberapa bulan lepas, loji jana kuasa di Gaza berdepan kekurangan bekalan bahan api.

    Beliau menggesa komuniti antarabangsa dan pihak terlibat untuk mendesak Israel menarik balik keputusannya memandangkan bekalan elektrik amat diperlukan bagi membolehkan kemudahan penting seperti hospital, klinik dan telaga air beroperasi. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Bekalan Elektrik Di Gaza Hanya 2 Jam Sehari "