• Bank Pembangunan Sarawak Mula Beroperasi Januari Depan

    Published: Monday, 19 June 2017
    A- A+

    KUCHING: Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) akan mula beroperasi Januari tahun depan.

    Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mengulangi sekali lagi bahawa Sarawak perlu mempunyi bank sendiri bagi mempercepatkan pembangunan ekonomi negeri ini di kawasan bandar dan luar bandar.

    "Lembaga gabenor bank ini juga sudah ditubuhkan," katanya ketika merasmikan majlis makan malam Gawai Dayak peringkat negeri di sebuah hotel di sini malam tadi.

    Beliau juga mengumumkan bahawa kerajaan negeri memperuntukkan dua bidang tanah di Jalan Ong Tiang Swee di sini kepada Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) dan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Dayak (DCCI) untuk membina pusat masing-masing.

    Abang Johari berkata beliau yakin, dengan adanya pusat itu nanti, masyarakat Dayak akan dapat mempersiapkan diri untuk menyertai program pembangunan yang dirancang kerajaan bagi negeri ini.

    "Saya yakin, Yayasan Kebudayaan Dayak dan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Dayak akan dapat memainkan peranan mereka dalam mengembangkan kek ekonomi di negeri ini," katanya.

    Sementara itu, pengerusi jawatankuasa penganjur majlis makan malam berkenaan, Datuk Gerawat Jala berkata masyarakat Dayak daripada generasi muda dan semasa perlu menimba ilmu dan mengikuti latihan profesional sebagai persiapan untuk menghadapi ekonomi digital.

    "Memelihara nilai teras integriti kita dan ketekunan dalam memburu kejayaan serta kesediaan menerima perubahan, adalah asas bagi kita untuk mencapai kejayaan pada masa akan datang.

    Majoriti penduduk Dayak yang tinggal di luar bandar boleh mengambil bahagian secara bermakna dalam ekonomi digital sekiranya kerajaan dapat menyediakan infrastruktur diperlukan seperti jalan raya dan kemudahan telekomunikasi bagi memastikan wujudnya ketersambungan dan akses kepada internet bagi masyarakat luar bandar.

    "Kami percaya kerajaan akan menyediakan infrastruktur ini secara teratur," kata Gerawat.

    Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Dr James Jemut Masing serta menteri kabinet persekutuan dan negeri.

    -- BERNAMA
  • No Comment to " Bank Pembangunan Sarawak Mula Beroperasi Januari Depan "