• Bahan Terlarang Disyaki Digunakan Di Grenfell

    Published: Monday, 19 June 2017
    A- A+
     

    LONDON: Lapisan luar baru yang digunakan dalam kerja pengubahsuaian di Menara Grenfell mungkin bahan larangan menurut peraturan bangunan di negara itu, kata dua menteri.

    Polis pula meneruskan siasatan mengenai kebakaran yang mengorbankan sekurang-kurangnya 58 orang.

    Menteri Perdagangan, Greg Hands, berkata kerajaan melakukan 'pemeriksaan penting' ke atas kira-kira 2,500 blok menara di seluruh Britain bagi menilai keselamatannya.

    Pakar percaya, lapisan luar, yang mengandungi penebat, membantu menyemarakkan api dengan pantas ke bahagian luar menara penempatan awam itu dalam kejadian pada awal Rabu lalu.

    Sebahagiannya berkata, mereka tidak pernah melihat api merebak dengan begitu cepat. Menara 24 tingkat itu yang menempatkan 600 penghuni dalam 120 unit pangsapuri kini rentung.

    Hands dan ketua perbendaharaan, Philip Hammond, berkata dalam penampilan televisyen berasingan bahawa lapisan yang digunakan pada Grenfell adalah dilarang mengikut peraturan Britain.

    Hands menyatakan, pegawai masih belum menerima butiran lanjut mengenai pengubahsuaian yang selesai dibuat tahun lalu.

    "Pada pemahaman saya, laporan luar dilaporkan tidak mematuhi peraturan bangunan United Kingdom.

    "Kita perlu mengenal pasti dengan tepat apa jenis yang digunakan dan bagaimana ia dipakai," kata Hands kepada Sky News.

    Sementara itu, ahli perundangan Buruh, David Lammy mendesak kerajaan dan polis merampas semua dokumen berkaitan pengubahsuaian Grenfell untuk mengelakkan kemusnahan bukti yang mungkin menunjukkan salah laku jenayah. - AP

    Subjects:

  • No Comment to " Bahan Terlarang Disyaki Digunakan Di Grenfell "