• Asfia Terus Dikecam, Didesak Letak Jawatan Segera

    Published: Monday, 19 June 2017
    A- A+
    KUCHING: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar terus mendapat kecaman dari pelbagai pihak, termasuk desakan agar beliau meletak jawatan dengan kadar segera sebagai usaha untuk memulihkan tanggapan buruk terhadap kemuliaan Dewan tertinggi negeri ini.

    Ianya berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching pada Sabtu yang menyifatkan tindakan Speaker DUN melampaui bidang kuasanya dalam kes perlucutan Dr Ting Tiong Choon dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.74 Pujut.

    Malah, keputusan itu juga dianggap pemerhati sebagai mampu menghakis kepercayaan rakyat terhadap integriti Badan berkenaan dalam membuat keputusan di masa hadapan.

    Terbaharu, Ketua DAP Katibas Paren Nyawi menyeru agar Asfia meletak jawatan sebagai Speaker dengan seberapa segera.

    Menurutnya tindakan Asfia sebagai Speaker DUN dalam melucutkan keanggotaan Dr Ting Tiong Choon dalam DUN jelas membelakangkan badan kehakiman.

    “(Menteri Kewangan Kedua Dato Sri) Wong Soon Koh juga digesa meletak jawatan kerana bertindak melanggar konsep pemisahan kuasa yang diamalkan oleh mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen,” katanya dipetik Utusan Borneo.

    Terdahulu pada Ahad, Pemangku Ketua Pemuda Parti Bansa Dayak Sarawak Baharu (PBDSB) Rapelson Richard Hamit turut mendesak Mohammad Asfia meletak jawatan.

    Menurutnya, Asfia telah menidakkan suara rakyat atau pilihan raya dan demokrasi secara keseluruhannya.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Rapelson berkata, Asfia harus membuat penilaian sewajarnya sebelum meluluskan sebarang usul berkaitan dan perkara seperti itu tidak akan berlaku jika beliau tahu asas perundangan.

    “Lebih baik insan istimewa dilantik menjadi speaker asal berkelayakan dan tahu asas perundangan Malaysia.

    “Sekiranya saya adalah beliau, saya akan letak jawatan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam

    Pada Sabtu lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Douglas Christo Primus Sikayun, memutuskan keputusan Asfia semasa Persidangan DUN pada 12 Mei lepas, Dr Ting Tiong Choon hilang kelayakan sebagai ADUN Pujut, tidak sah kerana ia melangkaui bidang kuasanya.

    Pada Persidangan DUN 12 Mei lepas, Dr Ting hilang kelayakan sebagai ADUN Pujut susulan usul dibentang Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh dan diluluskan Dewan dengan undian 70;10.

    Perlucutan kelayakan Dr Ting dari DAP berpandukan Artiekl 17 (1) (G) Perlembagaan negeri Sarawak kerana pernah mendapatkan kewarganegaraan Australia sebelum ini.

    Dr Ting didakwa melanggar Artikel 17 (1) (G) Perlembagaan Sarawak yang menyatakan seseorang tidak layak dipilih menjadi ahli dewan undangan negeri sekiranya dia pernah, antara lain, secara sukarela mendapatkan kewarganegaraan atau menggunakan hak warganegara di mana-mana negara di luar persekutuan atau telah mengisytiharkan taat setia kepada mana-mana negara di luar persekutuan Malaysia.

    Berikutan keputusan itu, Dr Ting memfail saman pemula dengan Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi pada 7 Jun 2017 bagi mencabar pemecatannya sebagai ADUN Pujut oleh Speaker DUN melalui undian. – Sarawakiana
  • No Comment to " Asfia Terus Dikecam, Didesak Letak Jawatan Segera "