• Asas Ekonomi Malaysia Kekal Kukuh: Jabatan Perangkaan

    Published: Tuesday, 20 June 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Malaysia masih mempunyai asas ekonomi yang kukuh dan menjurus ke arah sebuah negara maju.

    Berdasarkan laporan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada setiap lima tahun, Malaysia mencatatkan pertambahan sebanyak 6.8 peratus bagi bilangan syarikat yang aktif beroperasi pada tahun 2015 iaitu sebanyak 920,624 berbanding 663,010 pada tahun 2010.

    Ketua Perangkaan Dr Mohd Uzir Mahidin berkata keseluruhan nilai ditambah yang dijana oleh 920,624 syarikat perniagaan tersebut adalah sebanyak RM983 bilion, dengan sektor perkhidmatan mendominasi 88.9 peratus secara keseluruhannya.

    "Antara industri yang menjana nilai ditambah tertinggi adalah pengekstrakan petroleum dan gas asli iaitu sebanyak RM92.3 bilion," kata beliau pada sidang media Penemuan Utama Banci Ekonomi 2016 di sini hari ini.

    Menurutnya, jabatan tersebut mendapati peningkatan berkenaan sejajar dengan pertumbuhan pesat ekonomi negara dalam tempoh 2010 hingga 2015.

    Mohd Uzir berkata jabatan juga mendapati sektor pembuatan kekal merekodkan output tertinggi dan buat pertama kalinya output sektor ini mencecah RM1.1 trilion.

    Bagaimanapun nilai ditambah adalah sebanyak RM259.2 bilion dan melibatkan 2.1 juta pekerja.

    Katanya, dari segi struktur terkini ekonomi negara, sektor perkhidmatan masih kekal sebagai penyumbang utama dengan 52.6 peratus, meningkat daripada 51.0 peratus.

    Ini diikuti dengan sektor pembuatan 26.3 peratus berbanding 25.6 peratus.

    Namun, bagi sektor perlombongan dan pengkuarian, walaupun menjadi penyumbang ketiga terbesar, sektor ini menunjukkan penyusutan sumbangan daripada14.0 peratus kepada 10.5 peratus.

    Penyusutan ini disebabkan terutamanya oleh penurunan harga minyak dan gas pada tahun tersebut yang memberi kesan kepada sumbangan bagi sektor ini.

    "Kita mendapati bahawa keseluruhan nilai ditambah dari sektor pembuatan semakin mengecil berbanding sektor perkhidmatan dan ini adalah trend terkini yang sejajar dengan hasrat kerajaan di mana sektor perkhidmatan akan terus menjadi pemacu pertumbuhan negara.

    "Kerajaan juga masa yang masa sedang giat menjalankan usaha-usaha untuk memperkasakan sektor tersebut terutama sekali dengan wujudnya Pelan Induk Perusahaan Kecil dan sederhana," kata beliau.

    Manakala bagi sektor pembuatan pula, Mohd Uzir berkata Malaysia mempunyai 'kelebihan persaingan ' dengan banyak syarikat tempatan yang juga aktif di peringkat antarabangsa di samping menggunakan teknologi yang canggih.

    "Dengan adanya jaringan hubungan melalui internet kita yakin bahawa Malaysia mampu mencapai tahap negara maju yang berpendapatan tinggi, walaupun di datangi cabaran ekonomi global.

    "Jabatan Perangkaan akan memperhalusi banci ekonomi pada masa akan datang ke arah mencapai tahap negara maju berpendapatan tinggi," katanya. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Asas Ekonomi Malaysia Kekal Kukuh: Jabatan Perangkaan "