• AS Tembak Jatuh Jet Pejuang Syria

    Published: Monday, 19 June 2017
    A- A+

    DAMSYIK: Pesawat tempur Amerika Syarikat, semalam menembak jatuh jet pejuang Syria kerana tentera antarabangsa diketuai AS mendakwa ia menyerang sekutunya dalam pertempuran menentang Daesh di negara bergolak itu. 

    Insiden itu terjadi ketika perang yang masuk tahun keenam di Syria menjadi lebih sukar, dengan tentera AS dan sekutunya bergerak ke kubu Daesh di utara iaitu Raqa, berhampiran dengan tentera rejim yang disokong Russia. 

    Tentera Demokratik Syria (SDF) yang disokong AS, pakatan pejuang Arab dan Kurdis, bertempur untuk mengusir Daesh dari Raqa, dan memasuki kubu kuat militan itu minggu lalu. 

    Tentera kerajaan tidak terbabit dalam pertempuran merebut Raqa, tetapi mara di kawasan di barat bandar raya itu, mengepung pejuang SDF. 

    "Pesawat tentera antarabangsa menyasarkan sebuah jet pejuang kami di wilayah Resafa di selatan Raqa tengah hari ini ketika ia melaksanakan misi terhadap Daesh," kata tentera. 

    Ia juga memberi amaran akibat buruk terhadap tindakan itu. 

    Tentera pakatan kemudian mengesahkan ia menembak jatuh pesawat juang Syria yang dikatakan menggugurkan bom berhampiran kedudukan pejuang SDF. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " AS Tembak Jatuh Jet Pejuang Syria "