• Ara Lega Pencuri Telefonnya Diberkas

    Published: Tuesday, 13 June 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ara Johari, menghela nafas lega apabila pihak polis berjaya memberkas individu yang mencuri telefon bimbitnya.

    Bintang baharu kelahiran Akademi Fantasia (AF) 2016 itu berkata, semalaman beliau tidak tenang apabila telefon bimbit miliknya itu dirompak di depan mata, Khamis lalu.

    Malah, individu terbabit turut tersenyum sinis kepada pembantu Ara ketika berlalu bersama telefon bimbit yang dicuri itu.

    "Saya menerima panggilan daripada polis memberitahu pencuri itu sudah berjaya ditangkap. Masih terbayang-bayang lagi wajah pencuri berkenaan dengan senyuman sinisnya sebelum beredar.

    Kejadian itu memang meninggalkan kesan mendalam pada saya.

    "Biarlah sekiranya telefon itu sudah tiada, namun apa yang penting si pencuri berkenaan bakal menerima hukuman setimpal dengan jenayah dilakukan," katanya ketika ditemui pada majlis buka puasa bersama The Majistret dan Stacy di Bangi, baru-baru ini.

    Sebentar tadi, Ara turut memaklumkan beliau baru saja pulang dari Balai Polis Damansara bagi melakukan proses pengecaman.

    Sementara itu, bercerita mengenai rujukannya dalam bidang seni, penyanyi lagu Warkah Untukku terbabit mengaku dirinya amat menyenangi personaliti dan gaya pelakon, Janna Nick.

    Biarpun baru saja mengenali Janna ketika menyertai AF2016, namun Ara mengagumi kredibiliti Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH ke-30 (ABPBH 3.0) itu, seterusnya menjadikan beliau sebagai idola.

    "Saya tidak kisah sekiranya dianggap meniru gaya pemakaian Janna kerana memang saya menyenangi personaliti dan kredibilitinya. Tidak tahulah pula jika dia kurang selesa dengan hal itu, namun saya sendiri tak malu untuk mengakui hakikat berkenaan.

    "Janna tidak pernah mempunyai gosip berkaitan hal peribadi dan kebanyakan cerita mengenainya membabitkan kerjaya saja. Malah, dia juga mempunyai bakat besar sebagai pelakon," kata Ara. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Ara Lega Pencuri Telefonnya Diberkas "