• Ambulan Hospital Kuala Krai Kena Kebas

    Published: Thursday, 22 June 2017
    A- A+
    Sebuah ambulan milik Hospital Kuala Krai yang ditinggalkan di sebuah bengkel kenderaan untuk dibaiki hilang dalam kejadian di Jalan Besar Guchil, Kuala Krai, semalam.

    Pemilik bengkel berusia 47 tahun hanya menyedari ambulans itu hilang jam 8.30 pagi semalam.

    Dia kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

    Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Abdullah Roning berkata, pengadu menerima ambulans yang mengalami masalah brek itu jam 2.30 petang kelmarin.

    Katanya, bagaimanapun sebaik pengadu tiba di bengkelnya semalam, ambulans itu didapati hilang dengan kesan cermin pecah.

    "Pengadu mengatakan kali terakhir ambulans itu ditinggalkan dalam keadaan berkunci.

    "Kita turut menjalankan siasatan dan mendapati lokasi kejadian adalah sebuah tempat letak kereta terbuka di hadapan bengkel kereta.

    "Modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan memecahkan cermin tingkap ambulans sebelum melarikan kenderaan itu," katanya.

    Menurutnya, kerugian dianggarkan berjumlah RM100,000.

    "Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Ambulan Hospital Kuala Krai Kena Kebas "