• Amaran 3J Kepada Penjawat Awam

    Published: Wednesday, 14 June 2017
    A- A+

    SEREMBAN – “Jangan hulur, jangan kawtim, jangan settle (3J)," Itu adalah amaran tegas Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Ramli Ismail kepada penjawat awam jika mereka tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.

    Menurutnya, amalan 3J itu perlu dipegang oleh setiap penjawat awam bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan aktiviti menerima mahu pun menghulur rasuah.

    “Bebas dan menolak rasuah adalah komitmen yang perlu dipatuhi oleh semua penjawat awam sepanjang perkhidmatan samada secara tetap, kontrak atau sambilan.

    “Kalau boleh kita mahu setiap individu dalam organisasi itu berikrar untuk membebaskan diri daripada aktiviti rasuah, sama ada ia melibatkan individu tertinggi dalam organisasi itu sehingga ketua-ketua cawangan, unit, bahagian dan sehinggalah ke individu yang melaksanakan tugas,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Sembilan di sini, semalam.

    Pada majlis tersebut, seramai 60 kakitangan yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan, Zainal Abidin Asri Wahid, menandatangani IBR di hadapan Pengarah SPRM Negeri.

    Dalam pada itu, Ramli memberitahu, usaha turun padang yang dilaksanakan oleh SPRM seluruh negara membuktikan bahawa pihaknya komited bagi menangani kes rasuah dalam kalangan penjawat awam.

    Katanya, beliau yakin pelaksanaan sebegini dapat memberi motivasi serta inspirasi dalam usaha membanteras jenayah rasuah di negara ini secara menyeluruh. - SH

    Subjects:

  • No Comment to " Amaran 3J Kepada Penjawat Awam "