• AJK LAKISRI Akan Tumpu Usaha Kenalpasti Bidang Ekonomi Baru

    Published: Monday, 19 June 2017
    A- A+

    SARIKEI: Jawatankuasa pengurusan baru Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sarikei (LAKISRI) yang akan dilantik selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini akan ditugaskan kepada usaha mengenal pasti bidang-bidang ekonomi baru untuk diceburi demi memperkasa kedudukan kewangannya.

    Jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh menggantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar yang telah menerajui LAKISRI lebih 10 tahun lepas.

    Menurut Len, jawatankuasa baru itu akan dibarisi muka lama dan baru terdiri daripada anak-anak tempatan yang memiliki pengalaman luas dalam pentadbiran agensi kerajaan dan swasta.

    Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Khatam Al-Quran Peserta Tadarus dan Penyampaian Sumbangan kepada golongan asnaf di Masjid Al-Muttaqin di sini hari ini.

    Lebih RM80,000 sumbangan duit raya LAKISRI diagih kepada 730 penerima dari kalangan golongan asnaf di bandar ini.

    Beliau berkata, sumber pendapatan LAKISRI sebelum ini kebanyakannya adalah hasil daripada sewa bangunan kedai milik organisasi tersebut di bandar ini. - BERNAMA
  • No Comment to " AJK LAKISRI Akan Tumpu Usaha Kenalpasti Bidang Ekonomi Baru "