• AirAsia Tambah 14 Buah Pesawat A320CEO

    Published: Thursday, 22 June 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia, telah menandatangani perjanjian dengan Airbus bagi menempah tambahan 14 buah pesawat A320ceo bagi menampung pertumbuhan yang lebih tinggi daripada jangkaan membabitkan rangkaian serantaunya.

    Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan hari ini, berkata dengan perjanjian terbaharu ini, jumlah pesawat A320 yang telah ditempah oleh AirAsia mencecah sebanyak 592.

    “Setakat ini, 171 A320ceo dan lapan pesawat A320neo sudah telah dihantar kepada kami dan berkhidmat dengan unit kami di Malaysia, India, Indonesia, Thailand dan Filipina,” katanya.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, syarikat penerbangan itu masih mencari tambahan pesawat untuk meluaskan lagi jangkauan serantaunya.

    “Memandangkan persekitaran kompetitif pasaran berada dalam keadaan terbaik, ditambah pula dengan harga minyak yang stabil, kami akan aktif mencari (pesawat) dari pasaran pajakan.

    “Dengan kos yang terendah di dunia, AirAsia akan mencatatkan pertumbuhan agresif,” katanya.

    Katanya lagi, Kumpulan AirAsia telah membeli 688 pesawat daripada Airbus, dengan nilai hampir US$ 90 bilion (US$ 1 = RM4.29) sejak ia mula beroperasi.

    “Kami merupakan syarikat penerbangan nombor satu yang menjadi pelanggan kepada Airbus dari segi angka dan nilai pesawat,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " AirAsia Tambah 14 Buah Pesawat A320CEO "