• Adakah Anda Pernah Jadi Warganegara Australia?

    Published: Tuesday, 20 June 2017
    A- A+

    KUCHING: “Adakah Anda Pernah Jadi Warganegara Australia?” itulah antara soalan yang amat mudah pernah ditanya kepada Dr Ting Tiong Choon ketika persidangan Dewan Undangan Negeri yang lalu, namun soalan mudah itu gagal dijawab dengan sewajarnya.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman meluahkan kenyataannya di Facebook berhubung isu pertikaian status kerakyatan ADUN Pujut Dr Ting Tiong Choon.

    Menurutnya, Ting ditanya dengan soalan yang amat mudah dalam DUN iaitu, "adakah anda pernah menjadi warganegara Australia?".

    “Jika beliau menafikannya, sudah tentu saya tidak akan menyokong usul tersebut, A simple No would have done it.

    “Tetapi beliau tidak menjawab persoalan tersebut tetapi memilih untuk memutarbelit soalan tersebut,” luahnya.

    Beliau berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai institusi penggubal undang-undang peringkat Negeri dan selaku ahlinya haruslah sentiasa melaksanakan tanggungjawab dengan meletakkan kepentingan Negeri dan Negara dahulu.

    “Apabila usul tersebut dibentang, Saya mendengar dengan teliti usul perbahasan dan maklumat yang dikongsikan oleh YB DS WSK (Wong Soon Koh) dan juga ADUN Pujut. Setelah mendengar dengan teliti, saya berasa yakin bahawa beliau pernah mempunyai kewarganegaraan Australia,” tulisnya

    Fazzrudin menambah, jika diberi peluang sekali lagi dalam undian tersebut, beliau akan memilih untuk menyokong usul tersebut.

    Mengambil satu contoh tentang kesetiaan, Fazzrudin berkata, jika seseorang rakyat Malaysia mempunyai kewarganegaraan lain, secara rasionalnya ketaatan, kesetiaan dan keyakina nya terhadap Negara sudah tentu berkurangan.

    “Apabila perkara ini berkurangan, adakah seseorang itu dapat bertindak dengan meletakkan kepentingan Negara dan Negeri dahulu? Sudah tentu ianya dapat dipersoalkan,” ujarnya

    Menyentuh keputusan Mahkamah Tinggi di Kuching pada Sabtu lepas yang memihak kepada Dr Ting. Beliau berkata, ianya juga menunjukkan ketelusan pentadbiran Negara, dan menghormati keputusan Mahkamah tersebut.

    “Dr Ting mengatakan beliau mempunyai hak-hak beliau. Kami juga mempunyai hak-hak kami juga. Biarlah kita sama2 berjuang di atas hak masing2 dan biarlah mahkamah menentukan keputusan nya nanti,” katanya.- Sarawakiana
  • No Comment to " Adakah Anda Pernah Jadi Warganegara Australia? "