• 8 Maut: SPAD Gantung Lesen Pengendali

    Published: Wednesday, 14 June 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggantung Lesen Pengendali Golden Horse Plantation Sdn Bhd dan semua kenderaan di bawah kendaliannya, berkuat kuasa semalam susulan kemalangan yang membabitkan lapan maut di Kilometer 25 Jalan Bahau, Negeri Sembilan ke Keratong, Pahang, kelmarin.

    SPAD dalam satu kenyataan, berkata permit kenderaan di bawah pengendali itu turut digantung bagi membolehkan siasatan audit pematuhan dijalankan berdasarkan Kod Amalan Keselamatan Industri (SPAD ICOP). Katanya, SPAD juga sedia membantu polis dalam siasatan kes itu apabila diperlukan

    "Keselamatan pengguna jalan raya dan pengendalian kenderaan barangan awam darat di jalan raya menjadi keutamaan SPAD. "Di bawah syarat-syarat Lesen Pengendali SPAD, semua pengendali pengangkutan awam darat perlu mendukung tahap amalan keselamatan tertinggi dalam mengendalikan kenderaan mereka," katanya.

    Katanya, SPAD tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perlanggaran amalan keselamatan dan serta mengingatkan pengendali supaya mematuhi keperluan keselamatan.

    "Suruhanjaya tidak teragak-agak untuk membatalkan Lesen Pengendali dan permit, selain mengenakan tindakan pentadbiran dan mahkamah sekiranya pengendali melanggar keperluan keselamatan," katanya.

    Terdahulu, kejadian kira-kira jam 2.20 petang membabitkan empat kenderaan itu menyebabkan lapan maut termasuk enam daripadanya yang juga satu keluarga rentung manakala seorang budak lelaki berusia tiga tahun parah.

    Nahas dipercayai berlaku apabila treler dengan muatan sawit dari arah Keratong cuba memotong motosikal tetapi, gagal sebelum terbabas ke lorong bertentangan.

    Pada masa sama, sebuah Myvi dinaiki sepasang suami isteri dan anak lelaki mereka yang dari arah bertentangan sempat mengelak treler berkenaan, tetapi berlanggar dengan Toyota Vios yang mengekori di belakang kenderaan berat itu.

    Sebuah PROTON Exora dinaiki enam sekeluarga yang mengekori belakang Myvi kemudian gagal mengelak dan bertembung dengan treler yang terbabas, lalu menghempap kereta itu di parit kecil bersebelahan sebelum terbakar. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 8 Maut: SPAD Gantung Lesen Pengendali "