• 5 Penuntut UPNM Didakwa Bunuh

    Published: Wednesday, 14 June 2017
    A- A+

    Lima penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, 22 Mei lalu.

    Sementara itu seorang lagi penuntut UPNM didakwa bersubahat dengan lima tertuduh terbabit.

    Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Azamuddin Md Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri kesemua berusia 21 tahun mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin.

    Sementara itu, seorang lagi, Abdoul Hakeem Mohd Ali, 21, didakwa dengan pertuduhan bersubahat dengan lima tertuduh itu untuk membunuh mangsa.

    Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada mereka.

    Arwah Zulfarhan Osman, 21, adalah penuntut tahun ketiga jurusan kejuruteraan elektrik UPNM.

    Allahyarham meninggal dunia di Hospital Serdang, pada 1 Jun, selepas dihantar untuk mendapatkan rawatan oleh beberapa rakan.

    Mangsa yang memiliki kesan melecur akibat ditekap dengan seterika wap di dada, tangan dan kakinya, dipercayai didera.

    Pada 2 Jun lalu, 36 penuntut, terdiri 32 dari UPNM dan empat Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) direman tujuh hari bagi bantu siasatan kes kematian Allahyarham Zulfarhan, dipercayai akibat didera dengan seterika wap.

    Bagaimanapun, empat penuntut UNITED kemudian dibebaskan dengan jaminan polis makanala perintah reman terhadap 32 penuntut UPNM dilanjutkan sehingga hari ini.

    Kesemua mereka yang ditahan reman adalah berusia antara 20 dan 21 tahun.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 5 Penuntut UPNM Didakwa Bunuh "