• 3 MoU Dimeterai Pameran Udara Paris 2017

    Published: Monday, 26 June 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Tiga memorandum persefahaman (MOU) dan satu surat hasrat (LOI) ditandatangani ketika Pameran Udara Paris Antarabangsa 2017, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

    Dalam kenyataan hari ini, MITI berkata pameran seminggu itu yang berakhir hari ini, menghimpunkan penggiat industri aeroangkasa dari seluruh dunia yang antara lain untuk mengadakan rangkaian, mempamerkan produk baharu, pemindahan pengetahuan dan keupayaan latihan.

    Katanya, pencapaian penting pada pameran itu termasuk pemeteraian perjanjian antara Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) dengan dua syarikat - Gyeongnam Techno Park dari Korea Selatan bagi pembuatan (struktur aero, komponen dan peralatan) dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi enjin aero dan komponen, serta dengan firma berpangkalan di Denmark, Skyways Technics bagi rancangan pengembangan dalam ekosistem aeroangkasa MAHB.

    Menurut MITI, satu MOU lagi ditandatangani antara Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA) dengan Persatuan Industri Aeroangkasa Taiwan (TAIA) bagi pembangunan aeroangkasa, terutama dalam pembangunan modal insan, keupayaan aeroangkasa dan peluang perniagaan antara Malaysia dan Taiwan.

    "Kerjasama ini tepat pada masanya memandangkan strategi pelbagai pengeluar peralatan tulen beralih ke rantau pertumbuhan tinggi seperti Asia Pasifik yang menyasar untuk menguasai 40 peratus daripada pertumbuhan kumpulan pesawat komersial baharu," katanya.

    Menurut kementerian itu, LOI pula ditandatangani oleh Pusat Inovasi Aeroangka Malaysia dan Kementerian Pendidikan Negara Perancis akan membabitkan usaha membangunkan kaedah inovatif baru bagi latihan untuk jurutera aeroangkasa dan pekerja kolar biru di Malaysia.

    Pembangunan industri aeroangkasa Taiwan mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan pada 15 peratus setahun sejak 1992, yang menyebabkan MAIA berminat membentuk kerjasama itu.

    Katanya, ia adalah sebagai sebahagian daripada usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai pangkalan pembuatan yang berupaya dan kompetitif, MRO dan penyelenggaraan yang dapat melengkap dan bersepadu dengan sektor aeroangkasa Taiwan dan serantau.

    Menurut MITI, kerajaan Malaysia akan terus menggalakkan ekosistem aeroangkasa bagi memacu pembangunan rantaian bekalan tempatan serta membawa teknologi canggih ke dalam negara.

    "Ini seiring dengan inisiatif 4.0 Industri Malaysia untuk meningkatkan daya saing Malaysia di arena global.

    Galakan eksport perkhidmatan aeroangkasa akan kekal menjadi aktiviti penting untuk mempromosikan Malaysia sebagai hab aeroangkasa serantau di Asia Tenggara," katanya.

    Sementara itu, MITI berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia mencatatkan potensi jualan sebanyak AS$17.2 juta hasil penyertaan mereka pada pameran terbabit.

    Sebanyak 10 PKS adalah daripada Program Projek Permulaan 8 (EPP8): Membangunkan PKS dalam Industri Pembuatan Aeroangkasa Global di bawah SME Corporation Malaysia. BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " 3 MoU Dimeterai Pameran Udara Paris 2017 "