• 2 Syarikat Konsesi Lebuh Raya Berisiko Muflis

    Published: Thursday, 15 June 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Pemegang konsesi bagi dua lebuh raya, Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL) dan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) berhadapan risiko muflis berikutan kekurangan trafik.

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata MRCB Lingkaran Selatan Sdn Bhd adalah syarikat konsesi tol bagi EDL manakala Senai-Desaru Expressway Bhd bagi SDE.

    Fadillah berkata, kerajaan sedang meneliti laporan kerugian kedua-dua syarikat konsesi itu, yang mana ada antara kerugian itu kesan daripada keputusan yang dibuat kerajaan.

    Sekiranya laporan itu benar, katanya, beberapa mekanisme mengatasi masalah itu akan diambil, antaranya pengambilalihan oleh kerajaan atau syarikat lain atau mencari kaedah mengurangkan kerugian mereka.

    "Contohnya, ketika kerajaan mula memperkenalkan tol di EDL, ia dikecualikan pada rakyat Johor dan bayaran hanya dikenakan pada kenderaan yang menghala dan datang dari Singapura.

    "Bagaimanapun, Singapura bertindak balas dengan keputusan itu. Kemudian kita perkenalkan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP), Singapura juga bertindak balas.

    "Kesannya jumlah kenderaan melalui lebuh raya itu berkurang dengan mendadak, menyebabkan unjuran trafik di dalam perjanjian gagal dicapai dan (pemegang konsesi) kerugian. "SDE juga berdepan masalah sama kerana jumlah trafik berkurangan, namun ia akan berubah apabila projek di Pengerang, Johor siap," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dua syarikat konsesi tol yang dikatakan berisiko muflis dan memohon agar proses pengambilalihan dilakukan oleh kerajaan serta penstrukturan semula.

    Mei lalu, Fadillah memaklumkan mengenai perkara itu, namun beliau tidak menamakan dua syarikat berkenaan.

    Mengulas lanjut, Fadillah berkata, beberapa mekanisme penyelesaian itu adalah antara langkah yang dipertimbangkan, namun belum ada sebarang keputusan mengenainya.

    "Memandangkan ini adalah membabitkan kerjasama awam dan swasta, maka perlu ada situasi menang-menang pada kedua-dua pihak," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 2 Syarikat Konsesi Lebuh Raya Berisiko Muflis "