• 2 anggota geng samun ditembak mati

    Published: Tuesday, 13 June 2017
    A- A+


    IPOH: Dua anggota Geng Samun Rantau Sitiawan yang mengganas di dua negeri sejak setahun lalu, ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis di Batu 13, Jalan Bidor-Teluk Intan di Teluk Intan, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, kedua-dua suspek dikenali sebagai Kenjo dan Ari berusia dalam lingkungan 30 dan 40 tahun maut di tempat kejadian selepas masing-masing ditembak pada bahagian dada.

    "Sebelum itu, kira-kira jam 2.10 pagi kami mendapat maklumat orang ramai mengenai dua lelaki menaiki sebuah kereta PROTON Saga berwarna emas dalam keadaan mencurigakan, lantas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman serta JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak mengesan kedua-dua suspek," katanya pada sidang media di IPK Perak sini, hari ini.

    Hasnan berkata, sebaik bertembung dengan kenderaan suspek, pasukan berkenaan cuba menahan mereka tetapi kereta itu dipandu laju sehingga memasuki lorong di kawasan kampung dan ladang kelapa sawit sebelum kenderaan itu terbabas.

    Katanya, seorang lelaki kemudian keluar dan melepaskan dua tembakan ke arah polis manakala seorang lagi cuba menyerang menggunakan parang sebelum kedua-duanya ditembak.

    Beliau berkata, pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri tetapi pemeriksaan cap jari mendapati kedua-dua mereka warga asing yang dikenal pasti anggota Geng Samun Rantau Sitiawan.

    Katanya, siasatan awal mendapati dua anggota lain kumpulan berkenaan sudah ditembak mati di daerah Muallim tahun lalu manakala tiga lagi anggotanya sudah kembali ke negara asal.

    Hasnan berkata, dua anggota kumpulan itu dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 10 kes samun di negeri ini dan Pulau Pinang membabitkan kerugian lebih RM450,000 kepada mangsa.

    "Modus operandi kumpulan ini memecah masuk kediaman yang agak terpencil ketika penghuni berada dalam rumah dan mengikat mangsa serta dicederakan jika melawan sehingga mangsa menjadi trauma, sebelum melarikan barangan berharga," katanya.-

    Subjects:

  • No Comment to " 2 anggota geng samun ditembak mati "