• 1MDB: PKR Percaya Media Pro-Zionis Anti-Palestin

    Published: Tuesday, 20 June 2017
    A- A+

    Ia bukan sahaja lucu tetapi amat menyedihkan umat Islam di seluruh dunia apabila berita mengenai kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disiarkan media antarabangsa pro-Zionis.

    Lebih malang, PKR yang diketahui sering ‘mengitar semula’ isu tersebut semalam dilaporkan mendakwa media asing berkenaan lebih dipercayai parti pembangkang itu kononnya telus dalam laporan mengenai 1MDB selama ini!

    Perkara pelik itu didedahkan sendiri oleh Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, malah dengan bangga berkata, ada lima media luar negara konon memiliki kredibiliti, sangat berpengaruh dan wajar dipercayai rakyat Malaysia.

    Media asing terbabit ialah akhbar The Wall Street Journal dan The New York Times – kedua-duanya dari Amerika Syarikat (AS); The Guardian dan agensi berita Reuters berpusat di Britain serta The Straits Times di Singapura.

    Pendedahan Fahmi yang pernah menjadi Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) parti itu bukan sahaja kelakar tetapi membuktikan beliau amat ‘cetek’ pengetahuan mengenai industri media global yang dikuasai pihak Zionis.

    Untuk rekod kelima-lima media dinyatakan memiliki banyak persamaaan ketara antaranya termasuk berat sebelah dalam penyampaian laporan krisis Asia Barat, khasnya melibatkan isu konflik Palestin-Israel sejak sekian lama.

    Ambil contoh mudah iaitu The Straits Times. Bagi rakyat Malaysia sering berulang-alik kerja di Singapura, tentu lebih maklum kecenderungan akhbar terbitan Singapore Press Holdings milik pemerintah republik itu, selama ini.

    Bayangkanlah berita pejuang Palestin yang mati dibunuh kejam tentera rejim Israel dirujuk sebagai pengganas, manakala askar Yahudi maut terkena batu dilempar oleh remaja Palestin pula akan dijulang tinggi sebagai wira.

    Dasar pro-Israel itu turut melibatkan Berita Harian diterbitkan di Singapura. Tidak hairanlah ia menyebabkan orang Melayu di pulau itu marah dan sanggup datang ke Johor untuk membeli Utusan Malaysia yang pro-Palestin.

    Sekadar makluman, di negara-negara yang ada Kedutaan Israel, semua editor media lazimnya sering diingatkan oleh pihak diplomat rejim Zionis itu untuk melaporkan teknik sedemikian sebagai taktik jahat ‘perhubungan awam’.

    Justeru bersyukurlah media di Malaysia, waima jiran kita, Indonesia dan Brunei bebas melaporkan tanpa masalah isu kekejaman Israel bunuh orang Palestin berbanding negara yang ada kepentingan diplomatik dengan Tel Aviv.

    Di AS, media cetak yang diagung-agungkan Fahmi itu sebenarnya boleh diragui dari segi kewibawaan laporannya kerana pernah beberapa kali disaman pelbagai pihak waima mempunyai edaran yang cukup tinggi di pasaran.

    Terbaharu The New York Times dilaporkan awal bulan ini terpaksa memohon maaf apabila memfitnah seorang selebriti Hollywood setelah mendakwa konon bisnesnya maju disebabkan ada kaitan dengan skandal 1MDB.

    Bagi mereka yang selalu lawat negara Uncle Sam itu, The Washington Post menjadi rujukan utama bahkan laporan disiarkan akhbar pernah menang 47 kali anugerah berprestij Pulitzer tersebut lebih seimbang tanpa prasangka.

    Manakala di Britain, akhbar yang dirujuk Fahmi itu juga bukanlah hebat mana pun, sebaliknya majoriti warga British dan orang asing lebih selesa memilih The Times atau The Financial Times kerana isinya lebih kredibiliti.

    Bayangkanlah ketika Perang Teluk 1991 apabila media dikuasai Zionis memfitnah presiden Iraq, allahyarham Saddam Hussein konon memiliki senjata pemusnah berbahaya, rakyat Britain beralih kepada dua akhbar tersebut.

    Mereka juga memboikot Reuters dan lebih percaya kepada Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) berbanding CNN yang dikuasai taikun media Yahudi, Rupert Murdoch terutama jika meletus krisis panas antara Palestin dan Israel.

    Hakikatnya, pendedahan Fahmi mengenai media asing yang diyakini parti itu mendedahkan pembangkang mahu rakyat Malaysia cenderung kepada berita berbaur agenda kepentingan jahat Zionis dan lebih teruk, anti-Palestin.

    Cukuplah sudah orang Arab pernah ‘diperbodohkan’ hasutan media antarabangsa pro-Zionis apabila menyokong revolusi Arab Spring sehingga tergamak menjatuhkan pemerintahan sendiri konon atas nama hak asasi demokrasi.

    Sekadar renungan, di AS sendiri ada jenaka sinis berhubung pengaruh media dikuasai Zionis yang cukup terkenal: ‘Anda bebas boleh kritik tuhan, tetapi jangan sesekali cuba kritik Israel!’ Fikir-fikirkanlah. – Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " 1MDB: PKR Percaya Media Pro-Zionis Anti-Palestin "