• 1MDB Langsung Bukan Pihak Didakwa DoJ

    Published: Thursday, 22 June 2017
    A- A+


    ADALAH penting bagi rakyat Malaysia untuk tidak dipengaruhi oleh kenyataan yang dibuat oleh pihak Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) terhadap kerajaan kita.

    Siri penyataan DoJ terhadap kerajaan Malaysia sejak tahun lepas tidak dapat dianggap sebagai fakta kerana ia hanya tuduhan. Mereka telah membuat banyak tuduhan, tetapi mengapa tidak ada tindakan diambil terhadap tertuduh?

    Justeru saya bersetuju dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bahawa DoJ perlu menjelaskan dan memberi bukti tuduhan mereka.

    Bertentangan dengan sentimen popular, 1MDB pula tidak pernah menjadi pihak kepada saman sivil yang konon dikemukakan oleh DoJ sendiri.

    Namun, apabila DoJ mengeluarkan pernyataan dengan istilah seperti “kerajaan Malaysia”, “Malaysian Official No. 1” dan “MO1”, ia mewujudkan persepsi bahawa pemimpin negara kita berada di tengah-tengah siasatan.

    Hakikatnya pada tahun lalu, Naib Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Dr. Tan Seng Giaw, yang juga Ahli Parlimen DAP Kepong, menyatakan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak terlibat.

    Beliau malahan merujuk pembabitan perdana menteri dalam mana-mana urusan 1MDB yang hanya bertindak sebagai pengerusi bukan eksekutif lembaga penasihat syarikat milik kerajaan itu.

    Kita perlu ingat bahawa jika tuduhan atau maklumat tertentu yang datang dari mana-mana jabatan atau agensi kerajaan AS sekali pun, kita perlu mengambilnya dengan penuh teliti.

    Saya tidak mengatakan semua kenyataan oleh AS adalah pembohongan rumit untuk meneruskan agenda tertentu, tetapi sebahagian daripada tindakan mereka diperbesar-besarkan dan jauh daripada kebenaran.

    Sudah tiba waktunya untuk rakyat Malaysia sendiri bukan sahaja menjadi lebih dewasa politik, tetapi juga untuk menggunakan logik dan akal kita memahami isu tersebut.

    Ia terutamanya dalam memahami kenyataan yang dibuat terhadap Malaysia oleh sebuah negara yang sanggup melakukan apa-apa sahaja selagi ia dapat memenuhi agenda tersiratnya.

    Saya percaya bahawa kita perlu mempercayai pemimpin kita, dan walaupun ada antara kita yang tidak dapat melakukannya, tetapi elakkan mempercayai negara-negara asing.

    Ini terutama sebuah negara yang jelas pernah mempunyai pelbagai rekod berbohong dan manipulasi media, malah sanggup menentang rakyat mereka sendiri.

    * Ahmad Soffian, Shah Alam, Selangor

    Subjects:

  • No Comment to " 1MDB Langsung Bukan Pihak Didakwa DoJ "