• 1MDB : DoJ Tak Minta Kerjasama

    Published: Friday, 16 June 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat gagal mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Malaysia dalam tindakan sivil kali keduanya berhubung rampasan pelbagai aset yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, berkata ini berlaku walaupun ada jaminan kerajaan akan memberikan kerjasama penuh dalam apa juga penyiasatan mengikut undang-undang terhadap syarikat Malaysia berdasarkan protokol antarabangsa.

    "Justeru, kami memandang berat kerana DoJ sekali lagi gagal mendapatkan kerjasama itu daripada Kerajaan Malaysia atau 1MDB sebagai syarikat yang berkaitan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata pihaknya juga bimbang terhadap penamaan yang tidak sepatutnya dalam tindakan DoJ itu yang dilakukan tanpa sebab berhubung perkara dan individu tertentu yang hanya akan membuka ruang manipulasi dan gangguan politik dalam negara.

    Katanya, ini mencadangkan motif yang melangkaui objektif rampasan aset dalam tindakan saman DoJ itu.

    Tengku Sariffuddin berkata, sebelum ini ada beberapa siasatan oleh pihak berkuasa Malaysia terhadap 1MDB, termasuk badan bipartisan seperti Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), namun tiada unsur jenayah ditemui.

    Selain itu, katanya, 1MDB masih menjadi subjek siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan tidak akan teragak-agak akan mengambil tindakan jika ada bukti penyalahgunaan wang daripada syarikat itu.

    "Sehingga itu berlaku, tuduhan yang tidak dibuktikan tidak boleh digunakan sebagai fakta," katanya.

    Katanya, kerajaan Malaysia juga mengambil maklum mengenai kenyataan akhbar DoJ yang menyatakan aduan rampasan harta itu hanya dakwaan bahawa wang dan harta terbabit dalam kegiatan jenayah itu dan ia tidak dibuktikan sehingga mahkamah memberikan penghakiman yang menyebelahi Amerika Syarikat.

    Sambil menekankan bahawa proses keadilan tidak disampaikan menerusi tajuk berita, beliau berkata Malaysia tegas menyokong ketelusan dan tadbir urus yang baik termasuk memastikan segala dakwaan mempunyai asas dalam fakta berbanding tuduhan daripada lawan politik. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 1MDB : DoJ Tak Minta Kerjasama "