• 14 Individu Terlibat Judi ditahan

    Published: Friday, 23 June 2017
    A- A+


    JOHOR BAHRU – Polis menahan 14 individu termasuk dua wanita kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan judi dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Jalan Pendekar 17, Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, di sini, awal hari ini.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua mereka yang berumur 25 hingga 60 tahun yang juga rakyat tempatan itu ditahan pada 12.30 malam oleh sepasukan anggota Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

    “Daripada 14 individu itu, dua lelaki dipercayai penganjur kegiatan berkenaan, manakala 10 lelaki dan dua wanita lagi adalah pemain judi,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

    Kamarul Zaman berkata kesemua mereka sedang leka berjudi ketika serbuan dilakukan dan tidak sempat melarikan diri kerana berada di tingkat atas premis perniagaan tersebut.

    Beliau berkata pihaknya turut merampas wang tunai bercampur-campur berjumlah RM24,486 dan mata wang Singapura SD240, 11 cip pelbagai warna, tiga biji dadu, satu mangkuk kecil, sebuah piring kecil, sekeping papan lapis, lima kerusi plastik serta satu meja kayu.

    Katanya dipercayai kegiatan itu bermula sejak seminggu lepas dan polis mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang telah menyalurkan maklumat berkaitan.

    Kesemua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " 14 Individu Terlibat Judi ditahan "