• TPM Mahu Keluhan Guru 'Duka Lara' Diberi Perhatian

    Published: Tuesday, 16 May 2017
    A- A+

    JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan perlu memberi perhatian terhadap keluh kesah guru yang memohon berpindah supaya dapat berdekatan dengan keluarga, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

    Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau memahami keluh kesah guru yang terpaksa berjauhan dengan keluarga kerana ia bukan sahaja menjejaskan emosi bahkan produktiviti kerjaya mereka. 

    "Bagaimana produktiviti akan meningkat kalau kita terpisah emosi dan minda dari keluarga atau orang yang kita kasihi. 

    "Kepedulian terhadap keperluan guru perlu difahami dan saya yakin, Kementerian Pendidikan dan menterinya ikhlas terhadap perkara ini, " katanya berucap merasmikan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-46 2017 di Kompleks Sukan Educity, di sini hari ini.

    Ahmad Zahid berkata ada 22,000 guru 'duka lara' memohon pindah tugas mengajar dengan setakat ini 9,000 orang daripadanya sudah 'dicantumkan' semula dengan keluarga mereka setakat ini. 

    Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyokong kementerian yang meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempercepatkan kelulusan menaikkan gred jawatan sebahagian Pengarah Pendidikan Negeri daripada Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C ke JUSA B. 

    Bagaimanapun, katanya, keprihatinan sama juga perlu diberikan Pegawai Pendidikan Daerah, Pengetua dan Guru Besar serta Guru Penolong Kanan. 

    Katanya, beliau memahami tugas guru semakin bertambah dan menguruskan guru dan pelajar yang ramai. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " TPM Mahu Keluhan Guru 'Duka Lara' Diberi Perhatian "