• TN50: Lebih 30,000 Aspirasi Telah Diterima

    Published: Saturday, 20 May 2017
    A- A+

    SHAH ALAM  - Kerajaan telah mengumpulkan lebih 30,000 aspirasi berkenaan Transformasi Nasional 2050 (TN50) sepanjang siri jelajahannya di seluruh negara.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, semua aspirasi yang dikumpulkan daripada pelbagai lapisan itu akan diteliti satu persatu oleh Kementerian Belia dan Sukan agar semua aspirasi tersebut dapat direalisasikan.

    "Dialog TN50 ini diadakan supaya rakyat Malaysia berfikir apa yang mereka mahukan menjelang 2050. Bagaimanapun, ada sesetengah aspirasi tidak perlu menunggu tahun 2050 untuk direalisasikan.

    "Semua aspirasi ini adalah keinginan rakyat Malaysia dan menjadi tanggungjawab kerajaan mendengar semua aspirasi ini," katanya ketika berucap dalam Dialog TN50: Inovasi Melonjak Mahasiswi di Persada Global di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

    Dalam pada itu, mengulas lanjut berkenaan dialog yang diadakan secara santai bersama kira-kira 1,200 pelajar itu, Nancy berkata, ada antara aspirasi yang dinyatakan itu boleh diperhalusi pada masa kini tanpa perlu menunggu pelaksanaan TN50.

    Nancy berkata, sebagai contoh, sistem pengangkutan dan pendidikan secara holistik mungkin akan menjadi lebih baik dalam masa terdekat memandangkan usaha ke arah itu sudah dilaksanakan ketika ini berikutan ia adalah keperluan orang awam.

    "Masyarakat perlu tahu bahawa sebarang pembangunan negara ini dilakukan tanpa mengira apa-apa faktor termasuk pembangunan di negeri pembangkang.

    "Kawasan bukan dipegang kerajaan tetap kita bangunkan kerana sebarang pembangunan yang dilakukan adalah demi kemudahan rakyat,"katanya. - Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " TN50: Lebih 30,000 Aspirasi Telah Diterima "