• SPR Tetapkan 4 Julai PRK DUN Pujut

    Published: Friday, 19 May 2017
    A- A+

    KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut akan diadakan pada 4 Julai ini,

    Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, mesyuarat khas hari ini menetapkan 4 Julai sebagai hari mengundi dan 20 Jun sebagai hari penamaan calon.

    Kerusi DUN Pujut kosong susulan bekas penyandangnya Dr Ting Tiong Choon dari DAP dilucutkan kelayakan sebagai ADUN dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 12 Mei lepas kerana didakwa melanggar Pasal 17 (1) (G) Perlembagaan Sarawak.

    Perlucutan kelayakan tersebut berpandukan Pasal 17 (1) (G) Perlembagaan negeri Sarawak yang menyatakan seseorang tidak layak dipilih menjadi ahli dewan undangan negeri (ADUN) sekiranya pernah, antara lain, secara sukarela mendapatkan kewarganegaraan atau menggunakan hak warganegara di mana-mana negara di luar persekutuan atau telah mengisytiharkan taat setia kepada mana-mana negara di luar persekutuan.

    Dr Ting menyandang kerusi DUN Pujut sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak selepas menang majoriti sebanyak 1,759 undi dalam pertandingan empat penjuru membabitkan calon DAP, BN, PAS dan seorang calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 7 Mei 2016.– Sarawakiana

  • No Comment to " SPR Tetapkan 4 Julai PRK DUN Pujut "