• Setahun Kaji Kesesuaian Teknologi CMA

    Published: Monday, 15 May 2017
    A- A+

    SINTOK: Kementerian Kerja Raya memerlukan tempoh setahun lagi untuk menyiapkan laporan kajian merangkumi aspek teknikal dan kos menilai kesesuaian getah sebagai bahan menurap jalan. 

    Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Zohari Akob, berkata kajian mengenai teknologi Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (CMA) perlu diperincikan dalam pelbagai aspek sehingga ia terbukti lebih praktikal dan menjimatkan untuk tempoh jangka masa panjang. 

    "Selepas kita mengutip data teknikal ini dan sekiranya ia positif dan menjimatkan untuk jangka masa panjang, maka teknologi ini akan diperluaskan ke seluruh negara. 

    "Kita dapati turapan jalan menggunakan teknologi CMA dijangka dapat bertahan sehingga 10 tahun biarpun mahal tetapi ia tidak memerlukan kekerapan penyelenggaraan," katanya. 

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan Penghargaan Rakan Industri 2017 di sini, hari ini. 

    BH sebelum ini melaporkan laluan dua hala 10 kilometer antara Kampung Desa Temu Jodoh ke Kampung Kwong Sai, Johor Bahru bakal menjadi jalan raya pertama di negara ini menggunakan teknologi CMA. Projek pemilikan tapak CMA itu dijangka bermula 17 Julai ini dan dijangka siap pada Januari 2020. 

    CMA adalah kaedah penurapan jalan baharu menggunakan bitumen (tar) dan getah beku sebagai bahan campuran asfalt yang boleh mengurangkan keretakan, aluran dan kos penyelenggaraan masa panjang yang menjimatkan. BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Setahun Kaji Kesesuaian Teknologi CMA "