• 'Sayur' Jadi Mercun Seludup

    Published: Wednesday, 17 May 2017
    A- A+

    BUKIT KAYU HITAM: Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM300,000 dalam pemeriksaan di kawasan Pusat Transformasi Desa (RTC) Napoh, di sini, malam tadi. 

    Timbalan Komander Operasi AKSEM Kedah, Noor Mohammed Shaik Alauddin, berkata susulan penemuan itu pihaknya menahan seorang lelaki berusia 31 tahun berasal dari Pulau Pinang yang juga pemandu lori berkenaan untuk membantu siasatan. 

    Beliau berkata, berdasarkan soal siasat lelaki itu mendakwa diupah seorang individu lain sebanyak RM1,500 untuk mengambil bekalan 'sayur' dalam timbunan kotak yang dipindahkan ke dalam lori itu tanpa mengetahui ia sebenarnya adalah mercun dan bunga api. 

    "Suspek mendakwa lelaki yang mengupahnya tidak membenarkan dia melihat isi kandungan kotak terbabit, sebaliknya hanya diarahkan menghantar bekalan ke Ipoh, Perak," katanya ketika sidang media di Kompleks AKSEM Bukit Kayu Hitam, di sini. 

    Noor Mohammed berkata sehingga kini pihaknya masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti kesahihan dakwaan suspek itu. 

    "Kita percaya stok mercun dan bunga api yang ditemui ini adalah untuk bekalan musim perayaan nanti. 

    "Kes kini diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana membawa masuk barang larangan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan," katanya. BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 'Sayur' Jadi Mercun Seludup "