• Sawit: Khabar Gembira Dari China

    Published: Wednesday, 17 May 2017
    A- A+

    JASIN: Langkah China menambah pembelian minyak sawit Malaysia menjadi khabar gembira kepada lebih 600,000 pekebun kecil tanaman itu di seluruh negara.

    Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata tambahan pembelian membantu meningkatkan harga komoditi itu yang kini berada pada tahap memberangsangkan.

    "Terima kasih kepada Perdana Menteri yang sangat komited membantu pekebun kecil sawit meningkatkan pendapatan, menerusi pemasaran komoditi itu ke luar negara," katanya di sini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi akaun Twitter pada Isnin, menzahirkan kegembiraan apabila republik itu memenuhi permintaan beliau sebelum ini supaya meningkatkan pembelian minyak sawit Malaysia.

    Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Jasin berkata, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bersama MPOB akan menganjurkan sambutan 100 tahun industri sawit di Malaysia, esok.

    "Majlis berlangsung di Ladang Tennamaram, Kuala Selangor yang menjadi lokasi pertama penanaman pokok kelapa sawit negara pada 18 Mei 1917, sebelum dikomersialkan hingga kini.

    "Sambutan bertemakan 'Minyak Sawit Malaysia: Kebanggaan dan Pencapaian Kita' akan dirasmikan Najib.

    "Orang ramai, khususnya pekebun kecil boleh mengambil bahagian dalam beberapa aktiviti mengenai perusahaan minyak sawit," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Sawit: Khabar Gembira Dari China "