• Sarjan Terima 9 Jahitan Kereta Dirempuh Penjenayah

    Published: Tuesday, 16 May 2017
    A- A+

    SANDAKAN: Seorang anggota polis menerima sembilan jahitan di kepala selepas kereta peronda (MPV) dinaikinya dirempuh suspek curi kenderaan di jalan susur masuk Jalan Pelabuhan, di sini.

    Sarjan Fadzil Bakar cedera parah di kepala dan mata, manakala rakan setugas Lans Koperal Ismail Shamsudin cedera ringan di kepala dalam kejadian jam 9.15 pagi semalam.


    Dalam kejadian itu, dua anggota polis terbabit memberi bantuan untuk menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai mencuri kereta jenis PROTON Iswara Aeroback, di Jalan Cecily.

    Suspek berusia 19 dan 31 tahun itu dikatakan memecut kereta sebaik menyedari dikejar polis sebelum memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan kereta dinaiki Fadzil dan Ismail.

    Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata akibat pelanggaran itu, dua suspek berkenaan turut cedera, bagaimanapun sudah stabil dan kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

    "Pemeriksaan ke atas kenderaan curi itu menemui pelbagai jenis barangan termasuk wang dan peralatan pecah rumah, manakala dua suspek mempunyai rekod lampau iaitu kesalahan dadah, merompak dan mencuri serta kedua-duanya positif dadah ketika pemeriksaan.

    "Polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes curi dan pecah rumah susulan penahanan dua suspek," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

    Mohd Azhar berkata, dua suspek terbabit disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Sarjan Terima 9 Jahitan Kereta Dirempuh Penjenayah "