• Sampai tujuh orang sehari diragutnya

    Published: Thursday, 18 May 2017
    A- A+
    POLIS menahan dua lelaki disyaki peragut yang terbabit dengan tujuh kes ragut di sekitar Johor Bahru, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kedua-dua suspek berusia 25 dan 32 tahun itu ditahan ketika berlaku kemalangan di Jalan Tun Razak berhampiran Susur 6, membabitkan motosikal ditunggang mereka dengan Toyota Vios.

    Beliau berkata, pada mulanya, kira-kira 11 pagi, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) menerima maklumat berhubung kejadian ragut di Jalan Lingkaran Dalam dan Jalan Yahya Al-Datar.

    €œKetika polis meronda untuk mengesan suspek sejurus menerima maklumat, anggota MPV nampak satu kemalangan membabitkan Kawasaki ER6n berwarna merah hitam dengan sebuah kereta.

    “Ketika polis hendak memberi bantuan, orang awam memaklumkan bahawa penunggang dan pembonceng motosikal berkenaan ada meragut orang awam yang berada di tempat kejadian.

    “Dengan bantuan orang awam, polis berjaya menahan kedua-dua suspek,” katanya.

    Menurutnya, polis turut merampas sembilan beg tangan pelbagai jenama, empat dompet, pelbagai mata wang, pelbagai pasport milik mangsa, tiga telefon bimbit, rantai leher, gelang tangan, pelbagai permit kerja dan motosikal berkenaan yang dilaporkan hilang di Larkin pada Jun 2015.

    Sulaiman berkata, hasil semakan, seorang suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau dan masih dikehendaki bagi membantu siasatan polis bersabit kejadian samun di Gelang Patah, manakala seorang lagi tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

    “Hasil siasatan lanjut, polis percaya dapat menyelesaikan tujuh kes ragut di sekitar daerah ini pada hari ini dan dengan tangkapan dua suspek ini, polis juga percaya dapat menyelesaikan beberapa lagi kes ragut di sekitar Wilayah Iskandar,”€ katanya.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.- HMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Sampai tujuh orang sehari diragutnya "