• Respa Perlu Bantu Tangani Persepsi Negatif Masyarakat Terhadap PDRM - TPM Zahid

    Published: Wednesday, 17 May 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) perlu membantu menangani persepsi negatif masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, meskipun PDRM telah melaksanakan yang terbaik, namun persepsi masyarakat terhadap pasukan keselamatan itu masih tidak berubah.

    "Oleh itu, peranan Respa adalah penting untuk membantu kepimpinan PDRM bagi mewujudkan kesedaran positif terhadap PDRM," katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Kenangan Respa 2017 di sini, malam ini.

    Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Presiden Respa Tan Sri Mohd Ismail Che Rus.

    Ahmad Zahid berkata sebagai pemimpin pendapat dan penapis maklumat serta mempunyai banyak pengalaman, anggota Respa juga disaran berkongsi idea dalam membantu hala tuju dasar keselamatan negara.

    Sementara itu Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 tahun ini untuk Respa menjalankan aktivitinya.

    Bagi memudahkan pelaksanaan pelbagai aktiviti, beliau yang juga Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mencadangkan Respa supaya mempunyai pejabat sendiri bertempat di Balai Polis Jalan Tun Razak.

    Menurutnya kawasan Balai Polis Jalan Tun Razak itu akan dibangunkan sebagai ibu pejabat MCPF setinggi 38 tingkat, selain menempatkan balai polis dan unit-unit lain yang akan disewa kepada pihak lain.

    Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata bagi mengenang jasa anggota polis yang terkorban dalam kejadian serang hendap oleh pengganas komunis di sempadan Kroh-Betong, Perak pada 1968, kerajaan telah membina sebuah Memorial Tragedi Kroh/Betong.

    Memorial itu siap sepenuhnya April lepas dengan peruntukan sebanyak RM200,000. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Respa Perlu Bantu Tangani Persepsi Negatif Masyarakat Terhadap PDRM - TPM Zahid "