• PRK DUN Pujut, SPR Bermesyuarat Jumaat ini

    Published: Tuesday, 16 May 2017
    A- A+
    KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Jumaat ini bagi membincangkan perkara berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK).

    Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah mengesahkan telah menerima pemakluman rasmi berkaitan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.74 Pujut dari Speaker DUN Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar hari ini.

    Menurutnya kekosongan kerusi DUN Pujut berikutan pelucutan kelayakan penyandangnya Dr Ting Tiong Choon sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) oleh DUN Sarawak.

    Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan hari ini.

    Pada Jumaat lepas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Dr Ting Tiong Choon dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) telah dilucutkan jawatan sebagai ADUN berikutan satu usul dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Sarawak.

    Usul berkenaan dibentangkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Datuk Sri Wong Soon Koh yang mendakwa Dr Ting hilang kelayakan sebagai ADUN kerana memperolehi kewarganegaraan Australia, berdaftar sebagai pengundi di negara itu dan berikrar taat setia kepada negara di luar persekutuan Malaysia.

    Menurut Wong yang juga ADUN Bawang Assan, berdasarkan perkara 17 (1) (g) Perlembagaan Sarawak yang menyatakan bahawa mana-mana orang yang dengan sukarela memperoleh kewarganegaraan asing atau menikmati hak-hak kerakyatan asing akan hilang kelayakan sebagai seorang ADUN.

    "Oleh itu, di bawah Perkara 17 (1) (g) Perlembagaan Negeri, dia bukan seorang yang layak dan sesuai untuk menjadi ahli Dewan yang mulia ini," katanya.

    Penyingkiran wakil DAP itu bakal menyaksikan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Pujut. - Sarawakiana
  • No Comment to " PRK DUN Pujut, SPR Bermesyuarat Jumaat ini "