• PPM patah cubaan seludup 3,000 biji telur penyu

    Published: Friday, 19 May 2017
    A- A+

    SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan seorang lelaki warga Filipina menyeludup 3,000 biji telur penyu ke negeri ini menerusi perairan Kampung Forest di sini, awal pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, sepasukan anggota PPM membuat pemantauan Ops Pensura di kawasan berkenaan sebelum mengesan sebuah bot pam yang cuba memasuki perairan terbabit.

    Komander PPM Wilayah Sabah, Asisten Komisioner Mohd Yazib Abd Aziz, berkata, pasukan terbabit berjaya memintas bot itu dan pemeriksaan lanjut menemui lima karung plastik serta 10 bungkusan berisi telur penyu yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

    "Bot pam dikemudi oleh lelaki warga asing berusia 40 tahun yang tidak mempunyai dokumen diri yang sah.

    "Anggaran rampasan telur penyu ialah RM4,800," katanya di sini, hari ini. Mohd Yazib berkata, kes disiasat mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.-BHarianOnline

    Subjects:

  • No Comment to " PPM patah cubaan seludup 3,000 biji telur penyu "